X

Kindly register in order to view this article
!

Harga ayam naik lagi

Peniaga di Pasar Awam Larkin Sentral mengakui tersepit dengan kenaikan harga ayam ketika ini. Gambar kecil: Dari kiri, Shahran Osman, Abdullah Idris, Soekarno Talib)
A
A

JOHOR BAHRU- Harga ayam segar di negeri ini dijangka terus naik menjelang Hari Raya Aidilfitri susulan trend kenaikan harga yang ditetapkan oleh pembekal.

Tinjauan di Pasar Awam Larkin Sentral mendapati, rata-rata peniaga terpaksa akur dan memaklumkan harga ayam akan dinaikkan antara 30 sen dan 40 sen sekilogram bermula Ahad, sebagaimana dimaklumkan pembekal.

Difahamkan, ayam segar kini dijual pada harga RM9.20 sekilogram berbanding RM8.60 sekilogram sebelum kedatangan Ramadan.

Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Awam Larkin Sentral, Abdullah Idris, 59, berkata, harga ayam akan dinaikkan sebanyak 40 sen sekilogram bermula Ahad.

“Sekarang ini, saya jual ayam dengan harga RM9.20 tapi pembekal dah maklum semalam (Jumaat) harga akan naik 40 sen, jadi harga akan meningkat kepada RM9.60 sekilogram.

“Kami tidak boleh buat apa-apa sebab bukan kita yang tentukan harga. Bila ditanya, alasan yang diberikan mereka ialah harga bahan makanan ayam meningkat. Dalam tempoh sebulan ini sahaja, harga ayam standard sudah naik empat kali.

“Memang ada pembeli yang merungut harga naik tapi kami tak boleh buat apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Awam Larkin Sentral di sini pada Sabtu.

Shahran Osman, 54, pula berkata, peniaga tiada pilihan jika pembekal menaikkan harga ayam, selain trend kenaikan harga ayam standard itu mengikut harga yang ditetapkan di negeri lain di Semenanjung.

Katanya, peniaga turut tersepit dengan keadaan itu, selain terpaksa berdepan dengan rungutan pengguna.

“Jika bekalan ayam segar semakin berkurangan menjelang hari raya, ada kemungkinan harga meningkat lagi.

"Setakat ini, tidak timbul isu ayam tidak terjual ataupun bekalan ayam segar tidak mencukupi di pasaran negeri ini disebabkan disorokkan oleh pihak pembekal,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengguna Bumiputera Negeri Johor, Soekarno Talib berkata, pihak persatuan akan cuba membantu bagi mengatasi masalah kenaikan harga ayam ketika ini.

“Pihak Persatuan Pengguna Bumiputera Negeri Johor sentiasa pantau harga ayam di pasar basah dan di sekeliling pasar raya di negeri ini, khususnya di Johor Bahru.

“Kita akan memberi maklum balas bagi harga ayam yang direkodkan kepada pihak kementerian terlibat. Kita berharap dengan pemantauan ini, ia akan dapat memastikan harga itu stabil dari masa ke masa,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!