'Ambil tindakan terhadap Zeti Akhtar'

Laporan polis dibuat bagi memastikan siasatan dilakukan terhadap Zeti Akhtar.
Laporan polis dibuat bagi memastikan siasatan dilakukan terhadap Zeti Akhtar.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz kerana didakwa membocor dan mendedahkan maklumat melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Presiden Kelab Naib-Naib Ketua UMNO Bahagian Kelantan, Datuk Hashim Ismail berkata, perkara tersebut dikesan dalam wawancara melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu artikel yang disiarkan di sebuah laman berita dalam talian.

Dalam kenyataan tersebut, katanya, Dr Mahathir mengakui Zeti pernah membocorkan rahsia kepadanya mengenai jumlah wang yang dimiliki Najib semasa menjadi Perdana Menteri.

"Ada perkara-perkara yang dinyatakan dengan jelas dalam wawancara tersebut bahawa wujud pelanggaran terhadap undang-undang telah berlaku.

"Dalam artikel yang sama, Dr Mahathir dengan jelas mengakui Zeti telah membocorkan dan mendedahkan maklumat kewangan seseorang iaitu Najib.

"Sedangkan ia adalah satu pelanggaran undang-undang yang jelas oleh Zeti yang ketika itu merupakan Gabenor Bank Negara," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu.

Hashim berkata, semua perlakuan Zeti adalah tertakluk kepada undang-undang perbankan negara semasa menyandang jawatan tersebut iaitu melindungi maklumat kewangan seseorang daripada didedahkan kepada mana-mana pihak, kecuali melibatkan pegawai penyiasat yang diberi kuasa undang-undang.

Malah, katanya, berdasarkan pengakuan Dr Mahathir juga, pihaknya yakin Zeti telah melanggar undang-undang perbankan yang melindungi hak individu termasuk melanggar akta-akta yang berkaitan dengan penyimpanan maklumat.

Artikel Berkaitan:

"Kami wakil kepada 14 bahagian hari ini berharap agar pihak penguat kuasa akan mengambil tindakan sewajarnya dan menyiasat kes tersebut sebaik mungkin," kata beliau.