Kerajaan Negeri Sembilan didesak henti segera projek kayu balak

Zool Amali menunjukkan gambar dan peta kawasan pembalakan di kawasan Lenggeng pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Zool Amali menunjukkan gambar dan peta kawasan pembalakan di kawasan Lenggeng pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan didesak menghentikan segera projek pengeluaran kayu balak seluas 500 hektar di kawasan Lenggeng berikutan statusnya yang kini didakwa masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin berkata, adalah sesuatu yang meragukan apabila projek yang statusnya kini dalam siasatan tetapi masih boleh berjalan seperti biasa.

"Isu balak ini telah dilaporkan kepada SPRM pada 18 September lalu oleh seorang individu dan saya difahamkan oleh SPRM Putrajaya yang status kes itu masih dalam siasatan.

"Jadi saya sebagai penduduk Lenggeng mendesak kerajaan hentikan pengeluaran kayu balak di kawasan Lenggeng sehingga siasatan kes selesai," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Ujarnya, apa yang menjadi persoalan apabila projek itu juga berada berhampiran dengan Hutan Lipur Lenggeng yang merupakan lokasi latihan tentera.

Beliau turut mendakwa projek pengeluaran kayu balak berkenaan bukan sahaja berlaku di kawasan Lenggeng tetapi di seluruh Negeri Sembilan yang melibatkan kawasan seluas 2,000 hektar.

"Kawasan yang terlibat di Lenggeng ini dekat kawasan Hutan Simpan Kekal. Sejak saya lahir di Lenggeng, tak pernah lagi ada pengeluaran balak.

"Saya pun ada menerima aduan daripada penduduk terutama masyarakat orang asli yang memberitahu kerja-kerja mengambil kayu balak itu telah mengganggu ekosistem tadahan air dan jalan di kawasan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberitahu akan membuat laporan polis selepas ini sekiranya kejadian tersebut masih lagi berlaku.