PH Sabah bincang kerjasama dengan Warisan

Raymond Ahuar
Raymond Ahuar
A
A
A

KOTA KINABALU - Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mengadakan mesyuarat pada Isnin depan dan seterusnya akan membincangkan hala tuju kerjasama PH dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Raymond Ahuar berkata, beliau sudah mengambil maklum berhubung keputusan Warisan untuk tidak lagi bekerjasama dengan PH secara rasmi.

"Perkara ini sudah dijangka sejak awal kerana Warisan mempunyai agenda tersendiri termasuk menjadi proksi Tun Dr Mahathir Mohamad di Sabah.

"Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang-cabang di Sabah sudah lama menolak kerjasama dengan Warisan namun masih terikat dengan keputusan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Sabah, Datuk Christina Liew yang masih ingin bersama dengan Warisan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu

Sehubungan itu, Raymond yang juga Ketua Cabang Keadilan Pensiangan berpandangan supaya PKR membincangkan perkara itu di peringkat parti sebelum membawa keputusan parti dalam mesyuarat PH Sabah.

"Saya yakin pimpinan AMK Sabah dan Wanita Keadilan Sabah menolak sebarang kerjasama dengan parti Warisan dan berharap Pengerusi PKR Sabah membuat keputusan bijak serta tidak membelakangi pimpinan parti yang lain termasuk sayap Wanita dan Angkatan Muda," katanya.

Tambah beliau lagi, keputusan PH yang mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekali gus mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah isyarat jelas bahawa PH semakin kukuh dan bersedia bergerak sendiri tanpa parti lain yang tidak jelas hala tujunya.

"Perlu diingatkan kepercayaan yang rakyat beri kepada PH pada PRU-14 lalu adalah kerajaan manifesto dan janji PH pada ketika itu dan ini termasuklah mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini tidak disenangi sekutu Dr Mahathir iaitu Warisan dan sebab itu Shafie (Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) juga berada dalam pertemuan tertutup sebelah pagi hari berlakunya Langkah Sheraton.

"Rakyat bijak untuk menilai pengkhianatan Warisan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kita menyaksikan tumbangnya kerajaan Warisan Plus yang dihukum rakyat.

"PH tidak boleh mengambil risiko untuk bersama mereka yang memungkiri dan mengkhianati kepercayaan rakyat atau PH akan menerima hukuman yang sama seperti apa yang dialami Warisan pada PRN Sabah yang lalu," katanya.