Bazar Ramadan meriahkan lapan stesen LRT mulai Selasa depan

Bazar Ramadan akan dibuka di stesen LRT Putra Height, Glenmarie, Kelana Jaya, Pandan Indah, Cempaka, Damai, Gombak dan Bangsar. (Gambar hiasan)
Bazar Ramadan akan dibuka di stesen LRT Putra Height, Glenmarie, Kelana Jaya, Pandan Indah, Cempaka, Damai, Gombak dan Bangsar. (Gambar hiasan)
A
A
A

PETALING JAYA - Kemeriahan suasana membeli juadah berbuka puasa akan mewarnai semula lapan stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) sepanjang Ramadan ini bermula Selasa depan.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datin Norlia Noah berkata, bazar Ramadan dalam normal baharu tersebut melibatkan stesen LRT Putra Height, Glenmarie, Kelana Jaya, Pandan Indah, Cempaka, Damai, Gombak dan Bangsar.

Beliau berkata, selain memberi platform kepada peniaga kecil menjana pendapatan, bazar Ramadan yang diwujudkan di ruangan parkir dan jejantas itu diharap memudahkan warga kota yang berkejar dari tempat kerja untuk membeli makanan berbuka puasa di rumah.

“Hampir 300 tapak akan dibuka melibatkan lapan stesen dengan kapasiti berbeza, iaitu sekitar 30 hingga 70 tapak dan setakat ini permohonan masih dibuka untuk peniaga yang berminat menyertainya di Putra Height,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran Kempen Rapid KL Support Lokal 2.0 di sini pada Jumaat.

Rapid KL Support Lokal 2.0 merupakan kesinambungan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilancarkan tahun lalu, bertujuan membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan Covid-19.

“Di bawah kempen berkenaan, pasukan media sosial Prasarana telah membuat promosi secara agresif dan percuma kepada lebih 15 peniaga kecil di media sosial Rapid KL, yang berjaya menghasilkan 2.3 juta ‘social media engagement reach’ dengan lebih RM800 ribu ‘PR value’.

“Selain itu, lebih 1,000 peniaga dalam talian telah mengambil bahagian dan kesempatan untuk menguar-uarkan perniagaan mereka dalam bebenang promosi dan ‘Instastory’ yang dicipta oleh pasukan media sosial kumpulan Prasarana sepanjang tempoh lapan bulan kebelakangan ini,” katanya.

Norlia berkata, edisi kedua inisiatif berkenaan diharap dapat menghasilkan impak dan penglibatan yang lebih besar daripada media massa, bagi membantu lebih banyak pemilik perniagaan termasuk pengusaha makanan dalam talian yang beroperasi dari rumah.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 10 peniaga yang menyertai ‘Rapid KL Support Lokal 2.0’ di LRT Lembah Subang mempamerkan produk makanan mereka, antaranya Dapur Hasnah, Pak Syed Nasi Kuning, Strawberry Shots, Botoi Teh Thai, Sky Pastries dan Kantin Pramugara. - Bernama