X

Kindly register in order to view this article
!

KASA gesa negeri wujudkan sistem pembentungan berpusat

Tuan Ibrahim (tiga dari kiri) melawat ruang pameran sebelum merasmikan sambutan Melaka Bumi Lestari sempena Hari Air Sedunia, Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Bumi peringkat negeri pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menggesa setiap negeri mewujudkan satu sistem pembentungan berpusat yang efisien dan mampu mengawal sisa industri atau efluen daripada kilang-kilang terlepas ke sungai-sungai utama.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah mewujudkan loji rawatan kumbahan serantau penting dalam usaha untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan mengurangkan pencemaran terutamanya pencemaran air dan sungai.

Menurutnya, sistem loji kumbahan itu akan memastikan segala efluen atau sisa dari kawasan industri dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke sungai atau tempat lain seperti mana yang berlaku ke sungai-sungai sebelum ini.

"Ia digunakan secara bersepadu dan kita harap negeri-negeri yang dalam perancangan untuk zonkan kawasan industri dapat mengguna pakai mekanisme ini dalam pelan pembangunan kawasan industri masing-masing.

"Secara tak langsung Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak perlu lagi memantau setiap kilang. Bayangkan ada 200 kilang atau industri dan kesemua kilang itu perlu dipantau JAS," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program 'Melaka Bumi Lestari' bertempat di Hotel LaCrista pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Idris Haron yang mewakili Ketua Menteri; Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Salhah Salleh.

Mengulas penganjuran program mega 'Melaka Bumi Lestari' yang merangkumkan sambutan Hari Air Sedunia, Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Bumi, Tuan Ibrahim menyambut baik inisiatif berkenaan yang disifatkan selari dengan usaha kerajaan dalam memperkasa dan melastarikan alam sekitar di negara ini.

"Sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka wajar utamakan pengukuhan aspek pembudayaan itu agar ia menjadi contoh tauladan yang baik kepada rakyat dan negeri-negeri lain, " katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!