Polis tubuh pasukan khas siasat Geng Lanun Merah Black Maria 360

Arjunaidi ketika sidang akhbar di IPK Selangor pada Jumaat.
Arjunaidi ketika sidang akhbar di IPK Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang dikaitkan dengan dakwaan terlibat dengan kegiatan kongsi gelap dahulunya bermula dengan kumpulan pacuan empat roda (4x4).

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kumpulan terbabit.

"Polis telah menyiasat kumpulan terbabit sejak tahun 2019. Setakat ini tiada bukti kukuh mengaitkan kumpulan itu dengan aktiviti kongsi gelap dan jenayah.

"Kumpulan berkenaan diketuai seorang lelaki dikenali sebagai ‘Mr A’ yang merupakan suami kepada seorang pegawai polis wanita berpangkat Deputi Superintendan (DSP).

“Selain itu, dakwaan kelong yang dikatakan pusat kegiatan jenayah kumpulan itu merupakan tempat memancing dan tempat menyewa bot kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.

Arjunaidi berkata, pihaknya tidak pernah menutup siasatan ke atas kumpulan terbabit.

Katanya, maklumat mengenai kumpulan terbabit dalam kegiatan jenayah setakat ini hanya berdasarkan andaian sahaja.

Oleh demikian, beliau berkata, siasatan berhubung kumpulan berkenaan akan mengambil masa dan hasil perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

“Saya mohon kepada orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berhubung kumpulan ini diminta tampil bagi membantu pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kemunculan semula kumpulan berkenaan.

Kumpulan yang dikatakan aktif sejak tahun 2013 itu dilaporkan dianggotai tidak kurang 500 ahli menjadikan kumpulan kongsi gelap itu antara kumpulan penjenayah terancang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang, Selangor.

Antara kegiatan jenayah dilakukan ialah seperti pembuangan sisa toksik berjadual, pengedaran dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sementara itu, mengulas mengenai isu gangsterisme di Selangor, Arjunaidi berkata, pihaknya telah menahan seramai 550 individu atas pelbagai kesalahan dan disyaki terlibat dengan ahli kumpulan kongsi gelap bagi tempoh 2019 hingga Mac 2021.

“Ia melibatkan sebanyak 175 kes. Antara kes-kes yang dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap ini ialah pergaduhan, merusuh, bunuh, cuba bunuh, penggunaan senjata api, samun, pemerasan serta lain-lain jenayah kekerasan,” katanya.