Pas, Bersatu bincang kerusi PRU15

Abdul Hadi - Foto Bernama
Abdul Hadi - Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Pas mengesahkan sedang mengadakan rundingan pembahagian kerusi bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umun ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan dilakukan oleh wakil kepimpinan daripada kedua-dua parti sebagai persediaan awal PRU.

"Rundingan kerusi bersama Bersatu sedang dijalankan. Kita telah buat keputusan dan kepimpinan kita sudah melaksanakan tugas itu, saya serah kepada mereka," katanya selepas menyampaikan kuliah duha mingguan secara dalam talian di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Tanpa memaklumkan peratusan keputusan perbincangan itu, Abdul Hadi berkata, Pas tidak bersikap terburu-buru dalam soal pembahagian kerusi tersebut kerana tarikh PRU15 belum diputuskan bila diadakan.

Soal jumlah dan lokasi kerusi yang akan Pas bertanding pula katanya, ia bergantung kepada keperluan dan kesesuaian semasa.

Menurut Abdul Hadi, setakat ini perbincangan berkenaan hanya melibatkan Bersatu, manakala rundingan bersama UMNO bergantung kepada penyelesaian masalah parti itu.

"Itu tertakluk kepada UMNO selesaikan masalah mereka dulu kerana sebelum ini sudah ada jawatankuasa dibentuk tapi UMNO ubah di tengah jalan. Sehingga kini oleh kerana UMNO bermasalah kita dengan Bersatu dulu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan satu perjumpaan akan diadakan di antara Bersatu dan Pas bagi membincangkan pembahagian kerusi PRU akan datang.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mesyuarat itu diwakili oleh beliau sendiri daripada Bersatu, manakala Pas diwakili Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu, Pas bincang pembahagian kerusi PRU Jumaat ini