Pendapatan petani meningkat

MADA sentiasa berusaha membantu petani meningkatkan hasil pertanian mereka.
MADA sentiasa berusaha membantu petani meningkatkan hasil pertanian mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendapatan petani di Kawasan Muda telah mencatatkan peningkatan, sekali gus mengeluarkan golongan berkenaan daripada kelompok B40.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, setelah membuat satu analisis baharu, pihaknya mendapati purata pendapatan mereka mencecah RM33,000 setahun dan kadar kemiskinan menunjukkan penurunan yang ketara.

“Alhamdulillah, sekarang hanya tinggal satu peratus kadar kemiskinan dalam kalangan petani. Berbanding pada 1970, kadar kemiskinan di Kawasan Muda sangat tinggi iaitu lebih kurang 70 peratus.

“Ini bermakna penubuhan MADA berjaya memberikan kesejahteraan kepada petani, sekali gus menunjukkan pencapaian membanggakan,” katanya pada program Sinar Live bertajuk ‘Masa Depan Industri Padi Kawasan Muda’ di Studio F Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi

Ahmad Tarmizi berkata, Kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia merangkumi kawasan seluas 130,282 hektar dan 100,685 hektar daripadanya adalah kawasan penanaman padi yang terletak di Kedah serta Perlis.

Menurutnya, MADA di-tubuhkan bertujuan bagi mengurus dan menyelia Rancangan Pengairan Muda iaitu sebuah projek pembangunan luar bandar yang terbesar dilancarkan di bawah Rancangan Malaysia Pertama.

“Bagi memastikan industri padi negara terus maju, program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) telah diperkenalkan di Kawasan Muda.

Artikel Berkaitan:

“Petani perlu meningkatkan keluasan sawah padi sekurang-kurangnya lima hektar. Sehingga kini seramai 3,942 petani di Kawasan Muda telah mengusahakan sawah padi dengan keluasan lebih 4.6 hektar.

“Kita lihat apabila penanaman padi berskala besar digerakkan petani dengan dibantu oleh MADA dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), hasilnya sangat baik kerana mereka dapat mengurangkan kos pengeluaran termasuk kos dari segi pembajakan dan racun,” katanya.

Beliau berkata, MADA bekerjasama dengan agensi-agensi pertanian lain termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menghasilkan varieti atau benih-benih padi yang berkualiti.

“Inisiatif terbesar yang dilakukan MADA setakat ini adalah mengubah sistem penanaman padi daripada sekali setahun kepada dua kali setahun.

“Pada peringkat awal, kita hanya dapat 3.37 tan metrik untuk satu hektar, namun hari ini ia sudah melonjak kepada 5.83 tan metrik untuk satu hektar.

“Apabila melihat peningka-tan ini, ia mungkin akan melepasi sasaran kita iaitu 6.5 tan metrik untuk satu hektar,” katanya.

Ahmad Tarmizi turut mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan sumber air baharu untuk kegunaan pertanian di Kawasan Muda.

Menurutnya, fenomena kemarau yang tidak menentu telah memperlihatkan empangan MADA mencatat bacaan terendah tahun ini.

“Ia adalah situasi kritikal kerana sumber air daripada empangan ini perlu memberi keutamaan kepada bekalan air mentah untuk kegunaan domestik dan industri di Kedah dan Perlis.

“Ketika ini kerajaan sedang membangunkan projek Jeniang Transfer yang membolehkan pengurusan air lebih efektif.

“Kerajaan diminta supaya dapat mempertimbangkan pembangunan sumber air baharu seperti coastal reservoir dan empangan bawah tanah bagi menjamin kelestarian industri padi di Kawasan Muda,” katanya.

Beliau berkata, dari segi pelaksanaan dasar kerajaan dalam industri padi termasuk Dasar Agro Makanan, ia adalah rentetan daripada dasar-dasar yang sudah dilakukan sebelum ini.

Bermula pada 1979, katanya, kerajaan telah memperkenalkan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) iaitu baja campuran dan baja urea dibekalkan kepada petani bagi meningkatkan pengeluaran padi negara.

Kaedah menuai padi kini digantikan dengan penggunaan jentera yang lebih efisien.
Kaedah menuai padi kini digantikan dengan penggunaan jentera yang lebih efisien.

“Kemudian pada 2007, Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) diperkenalkan dengan kerajaan memberi sumbangan khusus sebanyak RM650 untuk satu tan.

“Kerajaan juga melaksanakan beberapa dasar lain termasuk Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara (DJBMN) seperti penyelenggaraan infrastruktur, peningkatan kesuburan tanah (NPK), kawalan makhluk perosak dan penyakit serta mekanisasi ladang.

Menurutnya, pada 2014, harga belian padi dinaikkan daripada RM1,050 satu tan kepada RM1,200 manakala tahun 2016, subsidi harga padi pula dinaikkan daripada RM248.10 kepada RM300 untuk satu tan.

“Terbaharu dalam Belanjawan 2020, subsidi harga padi dinaikkan RM360 untuk satu tan,” katanya.

Ditanya cabaran dihadapi MADA setelah 50 tahun penubuhan, Ahmad Tarmizi berkata, isu kepadatan infrastruktur pengairan masih menjadi isu utama dalam pengurusan industri padi di Kawasan Muda.

“Kepadatan infrastruktur ini adalah jarak yang jauh antara tali air dan parit iaitu antara lima hingga tujuh kilometer menyebabkan pengairan dan kawalan air yang tidak sempurna.

“Selain itu, kita juga sedang berusaha untuk mengekalkan keluasan padi supaya tidak berlaku kemerosotan dari segi jumlah keluasan. Kalau di Kedah, sebahagian daripadanya sudah bertukar menjadi kawasan perumahan ataupun industri,” katanya.

Sebagai persediaan dalam menempuh revolusi industri pula, beliau berkata, pihaknya sedang membangunkan sistem data besar yang dikenali sebagai MADAGIS iaitu aplikasi membuat keputusan menggunakan satelit.

“Aplikasi ini bertujuan menghasilkan pemetaan sawah padi untuk memperoleh data dengan tepat.

“Kita juga turut memperkenalkan dron semburan racun dan juga mini jentuai. Sehingga kini, seluas 3,000 hektar di Kawasan Muda telah menggunakan khidmat dron, manakala 2,365.5 hektar telah menggunakan mini jentuai.

“Ini menandakan penggunaan teknologi kian menjadi pilihan dan dipercayai di antara pemain industri perta-nian,” kata Ahmad Tarmizi.

Kawasan Muda yang menghasilka padi yang terbaik.
Kawasan Muda yang menghasilka padi yang terbaik.