Ambil langkah segera cegah hakisan Sungai Kerian

Tinjauan SAM mendapati hakisan tebing Sungai Kerian yang semakin membimbangkan.
Tinjauan SAM mendapati hakisan tebing Sungai Kerian yang semakin membimbangkan.
A
A
A

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang mengambil langkah segera untuk mencegah hakisan tebing Sungai Kerian sebelum ia menjadi lebih buruk.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh SAM terdapat hakisan pada tebing Sungai Kerian yang perlu diberikan perhatian serius.

Menurutnya, punca masalah hakisan tersebut berkemungkinan oleh pelbagai faktor yang perlu dikaji dan diteliti oleh pihak berkuasa.

"Menurut beberapa orang nelayan dan pemancing yang ditemui SAM mendakwa antara punca hakisan di Sungai Kerian ini disebabkan oleh alun bot besar yang membawa muatan berulang-alik menyelusuri sungai berkenaan untuk ke pelantar pendaratan ikan yang bertempat di Jalan Ban Sungai Tok Tuntong, Nibong Tebal.

"Malah para nelayan sungai juga sebelum ini telah mengutarakan masalah ini ke jabatan-jabatan berkaitan banyak bot besar menggunakan Sungai Kerian sebagai laluan utama selain bimbang tentang keselamatan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Meenakshi berkata, nelayan turut memaklumkan, lambakan kolam ternakan akuakultur yang begitu hampir dengan tebing sungai juga antara punca yang menyebabkan hakisan selain kemerosotan kualiti air sungai kerana sisa buangan kolam dialir ke Sungai Kerian.

Katanya, pihak berkuasa perlu turun ke padang bagi mengenal pasti sama ada dakwaan tersebut berasas dan merungkaikan segala permasalahan tersebut.

"Sepanjang tinjauan SAM, kami melihat bot besar yang membawa muatan menuju ke bangunan pendaratan ikan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Jelas kelihatan alun dari bot-bot besar yang berulang alik menyelusuri sungai ini mampu menyebabkan hakisan yang lebih serius sekiranya tiada penghadang semulajadi atau tembok penahan yang kukuh bagi mengelakkan berlakunya runtuhan tebing sungai," katanya.

Beliau berkata, pembangunan dan aktiviti yang tidak terkawal sama ada secara sah atau tidak boleh menyebabkan tebing sungai menjadi tidak stabil.

Sehubungan itu, SAM menggesa JPS Pulau Pinang dan pihak berkuasa negeri mengambil tindakan segera dan wajar dalam pengurusan sungai di sini serta mencegah hakisan tebing Sungai Kerian.