Pembayaran tanpa tunai di bazar Ramadan MBK

Hamdan (kiri) menyampaikan permit kepada 19 penganjur bagi menjalankan aktiviti di bazar Ramadan dan Aidilfitri di Lobi Kompleks MBK pada Rabu.
Hamdan (kiri) menyampaikan permit kepada 19 penganjur bagi menjalankan aktiviti di bazar Ramadan dan Aidilfitri di Lobi Kompleks MBK pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan melaksanakan kaedah pembayaran tanpa tunai di semua tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di daerah ini.

Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin berkata, kaedah itu akan dilaksanakan bermula satu Ramadan ini kerana ia didapati sesuai dengan situasi penularan pandemik covid-19 ketika ini.

Menurutnya, bagaimanapun kaedah tersebut masih di peringkat awal, namun ia akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat selepas pelaksanaannya berjaya.

"Kita sudah bekerjasama dengan beberapa pihak bank bagi tujuan ini (bayaran tanpa tunai). Tapi pada peringkat permulaan, kita sekadar galakkan penggunaan dalam kalangan peniaga dan pengguna.

"Kita yakin kaedah ini sudah dipraktikkan dalam kehidupan memandangkan sudah setahun berdepan dengan wabak Covid-19, jadi kita pasti ia tidak menyukarkan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya Majlis Penyerahan Permit Penganjuran Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri tahun 2021 di Lobi Kompleks MBK pada Rabu.

Pada tahun ini, sebanyak 30 tapak penjualan telah dibuka membabitkan 26 lokasi penganjuran bagi bazar Ramadan dan empat lokasi bazar Aidilfitri membabitkan jumlah keseluruhan seramai 1,008 peniaga.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, tiada sebarang kenaikan kadar permit perniagaan dikenakan kepada peniaga yang terlibat dalam aktiviti penjualan kali ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kadar permit masih kekal seperti tahun 2019 iaitu RM180.50 bagi jualan makanan dan minuman.

"Bagi jualan air tebu dan kelapa pula sebanyak RM280.50, manakala RM300 untuk jualan pelbagai," katanya.

Beliau berkata, peniaga hendaklah menghadkan bilangan kemasukan pelanggan dengan menetapkan dua pelanggan sahaja yang boleh berada di khemah dan premis jualan pada satu-satu masa.

Katanya, penganjur bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri juga diminta menyediakan pas khas bagi peniaga, pembantu dan pengunjung.

"Penganjur kena pastikan terdapat kawalan pintu masuk dan keluar secara berasingan serta pergerakan di dalam kawasan perniagaan adalah secara sehala.

"Pengawalan di letak kenderaan juga perlu dilakukan bagi mengelak timbulnya kesesakan lalu lintas," katanya.