Saya hanya bergurau, kata Ahmad Faizal

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

TAPAH - "Saya hanya bergurau, bukannya betul-betul maksudkan untuk ambil kerusi Menteri Besar (Perak) balik," kata Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, penggunaan frasa ‘I’ll be back’ yang diucapkan pada majlis sambutan ulang tahun Bersatu Sabah di Kota Kinabalu, Isnin lepas lebih menjurus kepada maksud berbeza.

"Saya berucap panjang dalam program di Sabah itu, tetapi bahagian yang saya bergurau itu yang keluar, itu tidak kena dan tidak bagus kepada rakyat.

"Bercakap dalam acara politik, apa yang saya maksudkan ialah apabila tiada jawatan (kerajaan) bukan saya tidak terlibat langsung dalam politik, saya akan kembali dan terus berkhidmat sebagai ahli politik, tidak semestinya sebagai menteri besar, buat masa ini saya tak bermimpi pun untuk kembali ke jawatan itu," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan sedia ada sekarang di bawah pimpinan menteri besar daripada UMNO, Datuk Saarani Mohamad telah merencana perkara-perkara yang baik untuk kebajikan rakyat dan usaha itu seharusnya disokong.

"Enough politik, lagi pula saya fikir kerajaan (Perak) yang ada sekarang ini patut diberi sokongan untuk pastikan kepentingan rakyat," katanya.

Bekas Menteri Besar Perak itu mengulas laporan media pada Isnin lalu bahawa beliau memberi bayangan akan kembali menjadi pemimpin nombor satu di Perak selepas meletak jawatan pada 5 Disember lalu.

Ahmad Faizal dipetik berkata bahawa satu-satunya negeri yang dipimpin Bersatu adalah di Sabah selepas Menteri Besar Perak direhatkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Tapi seperti kata (filem) ‘Terminator’, ‘I’ll be back’," katanya seperti dilapor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada warga Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Mes Pegawai Kanan Batalion 3 PGA Bidor, di sini pada Rabu.

Sebanyak 1 tan ikan segar diserahkan kepada warga Batalion 3 sebagai bekalan keperluan harian mereka.

Dalam majlis itu, Ahmad Faizal turut menyampaikan sumbangan kepada balu mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, Relow Ko dan Sarjan Norihan Tari yang cedera parah dalam insiden tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, tahun lalu.