Pahang teliti kaedah terbaik bantu baikpulih rumah penduduk: MB

Wan Rosdy menyampaikan surat tawaran RRP kepada penerima pada majlis pelancaran RRP 2021 di sini pada Selasa.
Wan Rosdy menyampaikan surat tawaran RRP kepada penerima pada majlis pelancaran RRP 2021 di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang sedang mengenalpasti kaedah terbaik bagi membantu membaiki dan membaikpulih rumah penduduk yang uzur dan rosak di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan sewajarnya untuk tujuan itu selepas kaedah yang sesuai dikenalpasti.

Menurutnya, langkah itu sebahagian usaha kerajaan negeri dalam memastikan penduduk terlibat dapat tinggal dalam rumah lebih selesa.

"Kita dapati banyak rumah perlu dibaiki (tiada angka tepat) jadi keputusan telah dibuat untuk membantu membaiki dan jumlah peruntukan bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami.

"Keputusannya dijangka diumumkan dalam tempoh kurang dua bulan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) 2021 di sini pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu lebih teliti dalam menyalurkan peruntukan untuk tujuan ini bagi mengelak pembaziran dan lebih banyak rumah dapat dibaiki.

"Senarai rumah yang perlu dibaiki akan dikenalpasti pejabat daerah terlibat dibantu ketua-ketua kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut mempertimbangkan untuk menambah bilangan RRP tahun ini supaya lebih ramai penduduk yang layak dapat memiliki rumah sendiri.

"Tahun ini kerajaan negeri meluluskan pembinaan 103 RRP berbanding 98 buah tahun lalu dengan peruntukan RM6.7 juta.

"Kita akan lihat kepada keperluan, jika perlu kita akan tambah lagi pada pertengahan tahun ini," katanya.

Pada Majlis Pelancaran RRP 2021 itu, seramai 202 penerima menerima surat tawaran masing-masing yang disampaikan oleh Wan Rosdy.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!