JPJeBid antara penyumbang kutipan terbesar untuk JPJ

Zailani ketika sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Pejabat JPJ Cawangan Kuala Pilah pada Selasa.
Zailani ketika sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Pejabat JPJ Cawangan Kuala Pilah pada Selasa.
A
A
A

KUALA PILAH - Sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan iaitu JPJeBid merupakan antara penyumbang terbesar dalam kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia sehingga Mac lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pada tahun lalu jumlah hasil kutipan diterima menerusi sistem JPJeBid ialah sebanyak RM178 juta melalui 130 siri bidaan.

Beliau berkata, pada tahun ini iaitu sehingga Mac, pihaknya telah mengutip sebanyak RM59.3 juta menerusi sistem berkenaan dan akan terus meningkat.

"Sejak kita perkenalkan JPJeBid ini, setiap siri bidaan yang kita lakukan akan peroleh hasil tidak kurang daripada RM1 juta. Dalam tempoh satu bulan, ada negeri yang membuat dua siri bidaan.

"Bagi tempoh tiga bulan tahun ini sahaja, kita berjaya mengutip hasil lebih RM59 juta dan pasti akan terus meningkat lagi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pejabat JPJ Cawangan Kuala Pilah di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan.

Sementara itu, Zailani berkata, pada tahun ini nombor pendaftaran untuk RAJ di Perlis merupakan antara kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM3.4 juta sehingga tempoh Mac.

"Kita menjangkakan pada tahun ini kutipan hasil yang diperoleh melebihi RM4.1 bilion dan boleh mencecah sehingga RM4.4 bilion sekiranya kita melaksanakan sistem pendigitalan bagi semua urusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Zailani berkata, JPJ akan melancarkan sistem e-Que bagi memudahkan orang ramai memantau nombor giliran mereka berdasarkan sistem di telefon pintar.

Melalui sistem ini, beliau berkata, pelanggan hanya perlu mengimbas QR kod yang diberi dan melihat nombor giliran untuk berurusan di kaunter tanpa perlu menunggu lama di dalam bangunan.

"Mereka yang membuat e-Que ini nanti boleh keluar dan pergi ke mana-mana dahulu sementara menunggu nombor giliran mereka sampai. Hanya pantau melalui telefon pintar mereka sahaja tanpa perlu duduk di dalam bangunan," katanya.