Penjajaran Semula ECRL 3.0, pengkhianatan kepada rakyat NS

Teo Kok Seong
Teo Kok Seong
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri terkilan dan kesal dengan pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong atas penjajaran semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, tindakan mengubah semula jajaran asal ECRL ini seolah-olah mahu menganaktirikan rakyat Negeri Sembilan.

"Saya berpendapat bahawa jajaran yang melalui Klawang, Nilai dan Putrajaya (Jajaran Selatan) lebih membawa manfaat bukan sahaja kepada pembangunan Negeri Sembilan, tetapi juga lebih menguntungkan seluruh projek dari segi jangka panjang.

"Laluan Selatan dapat mengelakkan pembinaan beberapa terowong yang jumlahnya keseluruhan sepanjang kira-kira 18 kilometer (km), malah Wee Ka Siong sendiri akur dengan fakta di mana laluan Utara ECRL 3.0 yang beliau cadangkan sekarang iaitu 20km daripada laluan Selatan iaitu lebih jauh tempoh perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya, potensi pembangunan di Negeri Sembilan termasuk di daerah Jelebu amat besar malah di kawasan Nilai, pembangunan perindustrian, penempatan, serta pendidikan, sudah cukup pesat dan memerlukan rangkaian pengangkutan yang lebih mantap.

Mengulas lanjut katanya, sektor industri di Nilai dapat berkembang lebih baik melalui kesinambungan rel ke Pelabuhan Klang melalui ECRL.

"Saya berharap Kementerian Pengangkutan berlaku adil kepada Negeri Sembilan, sepatutnya faedah pembangunan ini harus dikongsi bersama.

"Oleh itu, saya ingin menggesa semua wakil rakyat di Negeri Sembilan tanpa mengira parti, dapat bersama mendukung kepentingan Negeri Sembilan dan kepentingan negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga berharap kerajaan pusat dapat mengkaji semula keputusan ini demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan. Kementerian Pengangkutan tidak wajar memaksa rakyat menerima laluan Utara ECRL 3.0 yang merugikan kita semua terutama di Negeri Sembilan,"katanya.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan ditambah baik dan dijajarkan semula ke laluan asal iaitu Jajaran Utara dengan kos anggaran pembinaan sebanyak RM50 bilion.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata, jajaran baharu yang dikenali sebagai ECRL 3.0 itu dilaksanakan selepas mengambil kira hasil perbincangan dan permuafakatan dengan pihak berkepentingan yang terlibat seperti kerajaan negeri, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan serta pemain industri.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) membuat keputusan untuk mengubah semula jajaran Seksyen C ECRL ke Jajaran Asal yang dicadangkan pada 2016-2017.