Plaza IMT-GT zon bebas cukai ketiga

Selain menjual serunding, Roslan (kanan) turut melukis potret.
Selain menjual serunding, Roslan (kanan) turut melukis potret.
A
A
A

TANAH MERAH - Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) di Bukit Bunga di sini akan menjadi mercu tanda baharu dan pusat pelancongan sempadan dalam merancakkan lagi ekonomi di negeri Kelantan.

Projek strategik oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) itu menempatkan dua komponen utama iaitu pasar basah dan 30 lot kedai.

Pengurus Besar KESEDAR, Iskandar Zurkarnain Ibrahim berkata, pembinaan plaza bernilai RM14.7 juta yang berkeluasan 1.22 hektar itu bermula 2017 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2019.

Menurutnya, plaza yang dilengkapi dengan ciri-ciri moden dan fasiliti kelas pertama itu sedia menerima sehingga 500 pengunjung pada satu-satu masa, bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Peniaga, Roslan Abdul Rahman (kanan) menyantuni pengunjung yang berminat untuk membeli produk keluaran tempatan, serunding daging yang dijual olehnya di Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga, Tanah Merah.

“Usahawan dan peniaga di plaza ini terdiri daripada dalam kalangan penduduk setempat yang berpotensi memasarkan produk tempatan serta mampu menarik pelancong ke Bukit Bunga.

“Pelbagai produk makanan Kelantan yang dipasarkan termasuk serunding, gelembung buaya, aneka kerepek dan produk tenusu.

“Selain itu produk tekstil seperti tudung, batik dan kain pasang juga turut ditempatkan di lot kedai yang luas serta kondusif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kedudukan plaza berkonsep Rehat dan Rawat (R&R) dan one stop center di lokasi strategik itu juga mampu memberi tarikan kepada pengguna laluan utama Kota Bharu-Grik di Bukit Bunga.

“Antara fasiliti yang disediakan adalah surau, tandas, tempat letak kereta yang luas bagi mengelakkan kesesakan serta papan tanda maklumat bagi rujukan pelancong.

“Selain itu taman permainan, perkhidmatan bank, pusat gadaian emas, kedai gunting rambut dan kedai makan juga disediakan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung.

Khalidah (kanan) bersama suami menunjukkan tudung dan kain batik yang dijual di butiknya yang terletak di IMT-GT Bukit Bunga, Tanah Merah.
Khalidah (kanan) bersama suami menunjukkan tudung dan kain batik yang dijual di butiknya yang terletak di IMT-GT Bukit Bunga, Tanah Merah.

“Menariknya, IMT-GT juga turut dilengkapi sistem keselamatan canggih bagi mengelakkan kejadian jenayah terutama kecurian,” katanya.

Beliau berkata, KESEDAR sedang berusaha bersama kerajaan negeri untuk menjadikan Plaza IMT-GT sebagai kawasan bebas cukai ketiga di Kelantan selepas Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Matlamat pembinaan IMT-GT bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup dan menjana ekonomi penduduk setempat.

“Majoriti pengunjung luar negeri memilih Kelantan sebagai lokasi pelancongan kerana makanan dan pilihan pusat beli-belah zon bebas cukai.

“Kita yakin dengan usaha berterusan, IMT-GT mampu menjadi lokasi pilihan pengunjung setanding Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor,” katanya.

Pegawai Kesedar Holding Sdn Bhd, Ahmad Khuzaini Ab Kadir (kiri) dan kakitangan Kesedar Kuala Krai, Mohd Fadil Mohd Noor meneliti kertas kerja Projek Pelancongan Strategik, Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga, Tanah Merah.

Perniagaan lebih maju

Sementara itu, peniaga, Khalidah Kalik, 38, berkata, perniagaan tudungnya mendapat sambutan selepas berpindah dari kedai di kampung ke lot perniagaan di Plaza IMT-GT dengan kadar sewa sebanyak RM300 sebulan.

“Dahulu saya menyewa kedai yang kedudukannya tidak strategik, pelanggan pula hanya dalam kalangan orang kampung dan kawasan sekitar.

“Namun apabila berpindah ke plaza ini, perniagaan tudung saya bertambah maju serta lebih dikenali ramai,” katanya.

Khalidah
Khalidah

Seorang lagi peniaga, Roslan Abdul Rahman, 61, berkata, KESEDAR merealisasikan impiannya sebagai peniaga serunding yang pertama memiliki lot kedai di plaza ini.

Roslan
Roslan

“Serunding ayam, daging dan ikan ini adalah produk kakak saya, Rokiah Yusof, 61, dari Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas.

“Selain menjual makanan Kelantan, saya juga boleh melukis potret dan turut menerima tempahan termasuk secara dalam talian,” katanya.

Lokasi pilihan keluarga

Pengunjung, Zaiton Awang, 36, dari Batu 8, berkata, dia memilih plaza ini sebagai lokasi riadah pada waktu petang bersama empat anak yang berusia enam sehingga 15 tahun.

“Plaza ini menjadi tarikan baharu di Bukit Bunga kerana sebelum ini tiada tempat selesa seperti ini untuk beriadah bersama keluarga.

“Anak-anak boleh bermain di taman permainan sementara saya pula boleh meninjau premis di plaza ini. Saya suka datang ke sini kerana ia selesa dan bersih,” katanya.

Zaiton
Zaiton

Seorang lagi pengunjung, Adnan Abdullah, 36, berkata, dia berpuas hati dengan usaha KESEDAR dalam menjadikan daerah ini sebagai salah satu lokasi yang menarik untuk dikunjungi.

“Saya berbesar hati melihat pembangunan yang dilakukan pihak kerajaan bagi menarik minat pengunjung datang ke sini,” katanya.

Adnan
Adnan

Projek Pelancongan Strategik, Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga, Tanah Merah terletak di laluan utama Grik-Kota Bharu sesuai sebagai hentian pelancong.
Projek Pelancongan Strategik, Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga, Tanah Merah terletak di laluan utama Grik-Kota Bharu sesuai sebagai hentian pelancong.

Plaza IMT-GT disasarkan menjadi pusat pelancongan dan beli-belah bebas cukai ketiga selepas Pengkalan Kubor, Tumpat dan Rantau Panjang.
Plaza IMT-GT disasarkan menjadi pusat pelancongan dan beli-belah bebas cukai ketiga selepas Pengkalan Kubor, Tumpat dan Rantau Panjang.