Hubungan Pemuda UMNO-Pas Selangor terus diperkukuh

No Image Caption
A
A
A

SABAK BERNAM - Hubungan Pemuda UMNO Selangor dan Pemuda Pas Selangor di bawah Muafakat Nasional (MN) dalam keadaan baik dan akan terus menjalin kerjasama bagi memperkukuh kedua-dua parti itu pada masa depan.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, pelbagai program dirancang diadakan secara bersama antara UMNO dan Pas.

Katanya, komitmen sama dizahirkan Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

"Hubungan Pemuda UMNO dan Pas di negeri ini baik, malah kita sentiasa menjalankan program bersama antaranya mengadakan siri jelajah ke setiap Parlimen di negeri ini.

"Siri jelajah ini bermula di Parlimen Sabak Bernam dan saya difahamkan siri jelajah kedua esok (Ahad) diadakan di Parlimen Sungai Besar," katanya pada Program Derma Darah di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar di sini pada Sabtu.

Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar berkata, beliau menganggap siri jelajah Muafakat Nasional itu sesuatu yang cukup baik bagi memperlihatkan keakraban dua parti politik itu secara terus kepada peringkat akar umbi.

"Saya cukup yakin (kerjasama) ini dirasai akar umbi dan ia sedia terjalin dengan baiknya di peringkat kampung dan cawangan.

"Saya beranggapan kerjasama ini (UMNO dan Pas) perlu dipelihara, dijaga dan kita perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Program Derma Darah, Rizam berkata, kira-kira 50 orang awam di DUN Sungai Air Tawar tampil dalam program berkenaan.

Katanya, program dengan kerjasama Hospital Teluk Intan (HTI) itu sering dianjurkan pihaknya bagi membantu menampung bekalan yang semakin berkurangan di hospital berkenaan.

"Proses pendermaan darah ketika ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, bagi menjamin kesihatan penderma terutama dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.