DAP nafi guna kaum Melayu tarik undi

Marina Ibrahim ketika bersiaran di iG Live Sinar siri ke 12 bertajuk 'Melayu dalam DAP hanya alat?' yang dihoskan oleh Nazihah Khan pada Jumaat.
Marina Ibrahim ketika bersiaran di iG Live Sinar siri ke 12 bertajuk 'Melayu dalam DAP hanya alat?' yang dihoskan oleh Nazihah Khan pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa fungsi kaum Melayu di dalam parti tersebut adalah untuk menarik undi golongan muda Melayu.

Menurut beliau, dakwaan itu terjadi disebabkan segelintir kaum Melayu di dalam parti tersebut tidak menonjol atau mahu ke hadapan meskipun kebanyakan tulang belakang DAP itu sendiri merupakan Melayu.

“Sebagai contoh di Johor, ramai ahli DAP adalah dari kaum Melayu malah ada di antara YB (Yang Berhormat) yang bukan Melayu terkejut kenapa mereka tidak tahu mengenai maklumat tersebut.

“Tapi disebabkan caci maki masyarakat mereka takut untuk menonjol dan ke hadapan.

"Disebabkan perkara tersebut, kita lihat jawatankuasa tertinggi pusat DAP tidak mempunyai orang Melayu, yang ada kaum selain Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran di iG Live Sinar siri ke 12 bertajuk Melayu dalam DAP hanya alat yang dihoskan oleh Nazihah Khan pada Jumaat.

Menurutnya, antara sebab golongan muda Melayu menyertai parti tersebut kerana mereka sudah muak dengan permainan politik parti-parti Melayu yang menggunakan isu perkauman bagi memancing undi.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pandangan orang ramai bahawa DAP cuba mengancam hak orang Melayu, Marina berkata, ia tidak berasas sama sekali.

Artikel Berkaitan:

Katanya, DAP mengiktiraf perlembagaan dan hak-hak orang Melayu berdasarkan Deklarasi Shah Alam pada 2011.

“Kita sebenarnya lebih suka dengar daripada orang lain berbanding mengambil kenyataan yang dinyatakan.

“Itu yang kadangkala berlaku salah faham dan tanggapan terhadap DAP,” katanya.