Rasuah: Penganggur menyamar pegawai khas timbalan menteri direman

Suspek berusia 38 tahun yang memakai baju lokap SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman.
Suspek berusia 38 tahun yang memakai baju lokap SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah sebanyak RM5,000 serta lima peratus daripada permohonan dana geran filem bernilai RM1.8 juta.

Majistret Wong Chai Sia membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan suspek berusia 38 tahun itu, bermula pada Jumaat sehingga 6 April.

Suspek yang hadir dengan memakai baju berwarna oren disiasat berhubung kes meminta wang berkenaan daripada sebuah syarikat produksi sebagai dorongan untuk mendapatkan sokongan daripada timbalan menteri.

Menurut sumber, lelaki tersebut ditahan oleh SPRM Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang semalam di Putrajaya bagi membantu siasatan kes.

Katanya, suspek dikatakan menyamar sebagai pegawai khas kepada seorang timbalan menteri daripada sebuah kementerian dan meminta rasuah daripada syarikat produksi dengan menyatakan, sokongan daripada timbalan menteri akan memudahkan proses untuk memperoleh dana tersebut.

Sementara itu Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: