Pas sudah lakukan terbaik demi pertahan MN: Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pas sudah melakukan yang terbaik bagi mempertahankan jalinan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama UMNO menerusi Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2019.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO perlu mengikut konsep MN yang diinginkan Pas iaitu menyatukan umat Islam dalam satu pakatan dan mengelak perpecahan.

"Dua asas penting bagi penyatuan umat ialah tidak ekstrem dan tidak liberal. Kita tolak dalam kalangan mereka yang bersifat liberal dan ekstrem. Kita boleh nilai sendiri siapa yang ekstrem dan siapa yang liberal," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, kerjasama Pas dan UMNO dalam MN ketika ini berjalan seperti biasa, namun, dalam masa sama, beliau enggan mengulas sama ada Pas sudah bosan dengan tingkah laku UMNO.

"Itu (bosan) tunggu bila berlaku. Apabila berlaku betul-betul baru boleh jawab. Kalau tak berlaku lagi saya tak boleh jawab

"Apa yang pasti kita sedang bekerjasama dalam MN, orang yang enggan bekerjasama itu biarlah. Biar masyarakat lihat siapa yang mahu bekerjasama dan siapa enggan kerjasama.

"Kerjasama ini sudah dipersetujui dan ditandatangan. Saya sudah 'sign', Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah 'sign', jemput Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam MN. Itu yang perlu dilaksanakan. Kita dah tanda tangan, saya boleh tunjuk surat," katanya.

Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan Pas dua tahun lalu antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Artikel Berkaitan:

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan dalam Facebook beliau pada Khamis berharap rakan politik dalam MN memikirkan usaha mempertahankan gagasan muafakat yang asli dengan sebaiknya.

Beliau turut mengambil contoh Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang gagal kerana gabungan politik yang dibentuk tidak jujur dan tulen.

Sementara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas pada Rabu menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam satu kenyataan bersama pada Rabu, kedua-dua parti berkenaan menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15 terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

ARTIKEL BERKAITAN Zahid harap Pas fikirkan usaha pertahan gagasan muafakat sebenar