Maqis rampas 11.436 tan metrik sayur segar

Maqis Johor menahan sebuah kontena yang membawa pelbagai jenis sayuran segar dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri pada Selasa.
Maqis Johor menahan sebuah kontena yang membawa pelbagai jenis sayuran segar dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena yang membawa pelbagai jenis sayuran segar dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini pada Selasa.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan rutin dijalankan Pegawai Penguasa Maqis pada jam 5 petang mendapati kontena tersebut membawa 11.436 tan metrik sayur dianggarkan bernilai RM78,553.

"Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai kesalahan label yang ditampal pada bekas sayuran yang diimport. Antaranya tiada maklumat berkenaan saiz dan gred sayuran seperti diikrarkan dalam dokumen pengimportan.

"Semua sayur segar tersebut ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Jelasnya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak lebih RM75,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Maqis menasihati semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Artikel Berkaitan: