'Nak beri pendapat, rujuklah keputusan PAU dahulu'

Saarani menunjukkan telefon pintar yang akan diagihkan kepada 20,000 kumpulan isi rumah B40 di Perak sempena majlis Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar di bawah Insentif Tuisyen Cikgu Saarani di Dewan Dato Ahmad Hambal, Bota.
Saarani menunjukkan telefon pintar yang akan diagihkan kepada 20,000 kumpulan isi rumah B40 di Perak sempena majlis Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar di bawah Insentif Tuisyen Cikgu Saarani di Dewan Dato Ahmad Hambal, Bota.
A
A
A

PARIT - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menyarankan semua pimpinan parti agar berpegang kepada dasar yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Ahad lalu.

Beliau berkata, apa juga pandangan dan pendapat disuarakan ia haruslah berpaksi kepada pendirian yang diputuskan parti sepertimana penggulungan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Sudah tentu ramai akan beri pendapat dan pandangan dan itu pastinya berbeza-beza, tetapi bagaimana sekalipun nanti, rujukannya mestilah kepada apa yang diputuskan dalam perhimpunan agung, sebab itulah dasar (parti)," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan UMNO umpama 'harimau kertas' selepas 'mengaum' di Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.

Keadaan itu berlaku ekoran kelemahan Presiden UMNO dalam memastikan semua menteri dan timbalan menteri untuk meletak jawatan dalam Kabinet.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO umpama 'harimau kertas', kata Nazri

Saarani berkata, parti tidak boleh menghalang mana-mana pemimpin untuk menyuarakan pandangan mereka sama ada berkaitan parti atau kepimpinan.

"Begitu juga saya, tak boleh nak komen panjang apa juga komentar diberikan oleh pemimpin lain, cuma saya boleh sebutkan, kita rujuklah balik kepada keputusan perhimpunan yang telah digulung presiden, itu sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berhubung pendirian Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Menteri Besar Perak itu berkata, pihaknya tidak mahu campur tangan dalam hal itu.

"Saya hanya jaga UMNO, saya tak boleh jaga parti lain, jadi saya tak bolehlah nak komen hal itu," katanya.

Saarani terdahulu menyempurnakan majlis Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar di Dewan Dato Ahmad Hambal, Bota di sini sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Daerah Perak Tengah.

Program di bawah Insentif Tuisyen Cikgu Saarani itu bakal menyaksikan 20,000 kumpulan isi rumah B40 di Perak menerima telefon pintar secara percuma hasil kolaborasi kerajaan negeri bersama Yayasan YTL.

Saarani menyempurnakan majlis Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar di bawah Insentif Tuisyen Cikgu Saarani di Dewan Dato Ahmad Hambal, Bota sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Daerah Perak Tengah.
Saarani menyempurnakan majlis Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar di bawah Insentif Tuisyen Cikgu Saarani di Dewan Dato Ahmad Hambal, Bota sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Daerah Perak Tengah.