Keyakinan PN rampas Selangor tak masuk akal

HALIMEY
HALIMEY
A
A
A

SHAH ALAM - Keyakinan Perikatan Nasional (PN) untuk merampas Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU) nanti adalah tidak masuk akal dan dianggap dangkal.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) di Selangor masih kukuh walaupun kehilangan beberapa kerusi sebelum ini berikutan tindakan pemimpin lompat parti.

Beliau berkata, malah, beberapa insiatif khas dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan negeri juga telah mengukuhkan lagi sokongan rakyat terhadap PH.

"Walaupun beberapa kerusi telah dicuri oleh mereka yang tiada maruah, Kerajaan Selangor kini dengan jumlah 41 kerusi masih lagi berdiri kukuh. Kenyataan dangkal dan tidak masuk akal," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Halimey berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan pada Isnin yang menyatakan keyakinan bahawa PN mampu merampas Selangor pada PRU15 nanti.

Mengulas lanjut, Halimey berkata, rakyat Selangor sudah muak dengan kombinasi parti politik yang tidak bermaruah dan menggunakan pelbagai alasan untuk menghalalkan cara.

"Umum tahu Pas adalah parti yang sentiasa mempunyai alasan untuk setiap pendirian mereka dan adalah menjadi satu kesilapan buat parti Wan Saiful (Bersatu) menjadikan Pas yang tidak berpendirian sebagai teman berlari," katanya.

Dalam pada itu, Halimey yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia turut membidas Wan Saiful dan mengangap beliau tidak layak untuk menilai situasi politik di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Ujar Halimey, walaupun gelombang perubahan sewaktu PRU14 lalu agak kuat, Wan Saiful masih gagal untuk meraih kemenangan dan tewas di kerusi yang ditandinginya.

"Saya juga cabar Wan Saiful untuk turun bertanding di Selangor dan nyatakan di mana sekiranya beliau benar-benar jaguh," katanya.