Padah cuba rasuah polis

Lelaki berkenaan dibawa ke mahkamah untuk tempoh tahanan reman.
Lelaki berkenaan dibawa ke mahkamah untuk tempoh tahanan reman.
A
A
A

KOTA BHARU - Padah menawarkan rasuah RM1,000 kepada polis di Rantau Panjang awal pagi kelmarin, seorang lelaki tempatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berumur 41 tahun berkenaan melakukan perkara tersebut sebagai dorongan untuk melepaskan warga Thailand yang ditahan kerana memiliki minuman keras disyaki tidak dibayar cukai.

Akibat tindakan itu lelaki berkenaan diberkas polis dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM jam 6.05 petang kelmarin untuk siasatan lanjut.

Dimaklumkan sebelum itu, seorang warga Thailand berusia 30-an bersama minuman keras tersebut ditahan polis di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, jam 1 pagi.

Bagaimanapun, lelaki tempatan berkenaan dimaklumkan datang ke balai polis tersebut dan cuba menawarkan RM1,000 untuk membebaskan tahanan serta menutup kes itu.

"Biarpun sudah ditolak beberapa kali, lelaki tersebut terus mendesak. Dia ditahan polis, kemudiannya diserahkan kepada SPRM," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, lelaki berkenaan direman di Mahkamah Kota Bharu selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 17b Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel Berkaitan: