Tiada kecederaan dikesan pada trakea Zulfarhan

Zulfarhan Osman Zulkarnain
Zulfarhan Osman Zulkarnain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, tiada kecederaan dikesan pada saluran pernafasan (trakea) Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Saksi pembelaan ke-19 bagi kes prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan itu berkata, ia diperoleh berdasarkan laporan bedah siasat yang disediakan saksi pendakwaan keenam, Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam, Amer Hamzah Arshad, saksi berusia 50 tahun itu berkata, jika wap seterika dikeluarkan, kemungkinan kecederaan di saluran pernafasan akan wujud kerana seterika itu berada dekat mangsa.

Apabila wap dikeluarkan, Rohayu berkata, ia mungkin menyebabkan kecederaan di saluran pernafasan dan mangsa boleh menghidu.

Amer Hamzah: Namun dalam kes ini, berdasarkan laporan Dr Salmah, adakah kecederaan itu wujud?

Dr Rohayu: Tiada, (jika ada) kecederaan akan dilihat pada trakea.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi dan Mohd Josiendra Abu Senin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. - Bernama