Shah Firdaus rampas emas Azizulhasni

Shah Firdaus (tengah) bersama Azizulhasni dan Richardson pada majlis penyampaian pingat di Brisbane pada Ahad.
Shah Firdaus (tengah) bersama Azizulhasni dan Richardson pada majlis penyampaian pingat di Brisbane pada Ahad.
A
A
A

PELUMBA basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya mengetepikan cabaran rakan senegaranya yang juga juara bertahan, Azizulhasni Awang untuk merangkul emas acara keirin lelaki Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2021 pada Ahad.

Azizulhasni menamatkan saingan di tempat kedua manakala pelumba tuan rumah, Matthew Richardson menduduki tempat ketiga dalam saingan di Velodrom Anna Meares di Brisbane.

“Kayuhan tidak seberapa kuat dan pecutan tidak di tahap terbaik. Tetapi Alhamdulillah ia sentiasa seronok untuk melengkapkan podium. Terima kasih banyak kepada persatuan berbasikal Australia kerana sudi menjadikan kami sebahagian daripada kejohanan berprestij ini,” kata Shah Firdaus dalam hantarannya di media sosial.

Pada edisi lepas, Disember lalu, Azizulhasni, 33, bergelar ‘The Pocket Rocketman’ muncul juara manakala Shah Firdaus, 26, merangkul gangsa.

Dalam acara pecut individu lelaki pada Sabtu, Azizulhasni dan Shah Firdaus masing-masing meraih pingat gangsa dan perak manakala Richardson, 22, memenangi saingan dengan mengalahkan Azizulhasni 2-0 pada aksi penentuan pingat emas.

Sementara itu, Azizulhasni mengulangi bahawa Shah Firdaus mempunyai potensi besar untuk meraih emas pada Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini.

“Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan acara akhir keirin hari ini tetapi persembahan hebat. Kayuhan yang baik oleh Shah Firdaus yang menampilkan taktik sempurna pada perlumbaan akhir dan saya tidak boleh lebih gembira dengan pingat perak hari ini.

“Pelumba muda ini adalah versi Lee Zii Jia (badminton) dalam acara berbasikal trek,“ katanya dalam Facebooknya.

Artikel Berkaitan: