Banduan lari dari penjara ditahan semula

Banduan yang melarikan diri dari Pejara Pengkalan Chepa terjun ke tali air di Tumpat.
Banduan yang melarikan diri dari Pejara Pengkalan Chepa terjun ke tali air di Tumpat.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kurang 24 jam meloloskan diri daripada Penjara Pengkalan Chepa di sini, seorang banduan akhirnya berjaya ditangkap polis ketika terjun ke tali air di Kampung Terbak, Kelaboran, Tumpat pada awal pagi Ahad.

Banduan berusia 31 tahun itu ditangkap kira-kira jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, polis mengesan banduan yang mempunyai tujuh rekod jenayah samun dan dadah itu di kawasan Masjid Kelaboran, Tumpat.

Beliau berkata, lelaki berkenaan menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 sebelum pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Kota Bharu serta Narkotik Tumpat bertindak mengekorinya.

“Menyedari dia diekori, suspek memecut laju sehingga terbabas ke dalam tali air di Kampung Terbak, Tumpat.

“Suspek yang terjun dan bersembunyi di dalam tali air itu bagaimanapun berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Banduan lari dari Penjara Pengkalan Chepa

Beliau berkata, banduan berkenaan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan berdasarkan siasatan awal, dia mengaku melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa.

Artikel Berkaitan:

“Polis mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang membantu menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap dalam masa yang singkat.

“Kejayaan turut membabitkan kakitangan Jabatan Penjara Kelantan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan,” katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan banduan yang beralamat di Jalan Madrasah, Kampung Delima, Wakaf melarikan diri dengan memanjat pagar di Kawasan Menara 8 Penjara Pengkalan Chepa ketika proses pembuangan sampah.

Lelaki itu sedang dalam tempoh reman bicara mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menagih dadah.