Identiti mayat terapung dikenal pasti, tiada unsur jenayah

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A
ALOR SETAR - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan pada mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di Sungai Pumpong berdekatan Medan Selera Pumpong di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, hasil pemeriksaan terhadap kejadian dan bahagian luaran tubuh mangsa yang dikenali sebagai A Anbarasan, 50-an, itu, tiada kesan mengaitkan perbuatan jenayah.

Menurutnya, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian lelaki berkenaan akibat lemas dan mangsa dipercayai meninggal dunia antara tempoh 8.30 pagi hingga 1 petang.

"Lebih kurang jam 1.30 petang Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima maklumat daripada orang awam mengenai mayat ditemui terapung dalam sungai belakang tempat kerjanya sebelum ke lokasi kejadian.

"Hasil siasatan mendapati mangsa telah meninggal dunia disyaki lemas di tempat kejadian sebelum mayat dibawa keluar dari sungai dengan bantuan anggota bomba," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kakak mangsa memaklumkan bahawa adik lelakinya yang masih bujang didapati tinggal bersama dengan keluarga adik kandung mereka di Taman Golf di sini.

"Kakaknya bertemu kali terakhir dengan lelaki itu lebih kurang jam 8.30 malam pada Jumaat di rumahnya. Mangsa disedari waris tiada di rumah pada jam 8.30 pagi keesokan harinya," katanya.

Ahmad Shukri berkata, mereka mencari mangsa di merata tempat sehinggalah dimaklumkan penemuan mayat lelaki lemas di sungai terbabit.

Menurutnya, kakaknya mengesahkan mayat tersebut adalah adik kandungnya melalui pengecaman.
Artikel Berkaitan:


ARTIKEL BERKAITAN: Mayat terapung dalam Sungai Pumpong