Bot nelayan ditawan: Kerajaan akan bawa balik segera

Kerajaan akan berusaha membawa balik not nelayan tempatan yang ditawan Indonesia.
Kerajaan akan berusaha membawa balik not nelayan tempatan yang ditawan Indonesia.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan menerusi Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang berusaha membawa balik bot nelayan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di barat Pulau Talang, Perak, kelmarin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kejadian itu berlaku disebabkan kekeliruan antara pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia berhubung sempadan maritim di perairan negara ini.

Beliau menegaskan penahanan bot nelayan tempatan itu dibuat dalam kawasan perairan negara Malaysia.

"Kita sedang berusaha untuk membawa pulang bot yang ditahan dalam kejadian berkenaan menerusi rundingan dua kementerian terbabit.

“Buat masa ini, kita percaya dan mempunyai asas untuk mengatakan (penahanan) itu tidak sah kerana (bot berkenaan) berada di perairan negara sebelum ditahan pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-14 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Kelmarin, sebuah bot nelayan tempatan ditahan pihak penguasa Indonesia ketika masih berada dalam perairan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Penahanan bot nelayan tempatan PKFB 1689 dari Pantai Remis, Perak itu membabitkan empat pekerja iaitu seorang warga Thailand dan tiga warga Kemboja.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Azis berkata, perkara terbabit boleh diselesaikan secara diplomasi diantara Malaysia dan Indonesia dalam kadar segera.

“Saya percaya isu ini boleh diselesaikan dan kita boleh membawa balik bot nelayan tidak lama lagi," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, perbincangan lebih teliti dengan pihak berkuasa Indonesia perlu dilakukan segera bagi memastikan pihak berkuasa kedua-dua negara mengenalpasti sempadan maritim masing-masing.

Katanya, di kawasan terbabit sememangnya sudah ada rundingan dan bagi menyelesaikan isu pertindihan semasa antara kedua-dua negara.

“Kita sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung perkara itu pada tahun 2012 dan sepatutnya kedua-dua negara sedia maklum bahawa tidak ada tangkapan atau penahanan boleh dilakukan di kawasan (sempadan) bertindih itu.

"Jadi, kita harap perkara seperti ini dapat dibincangkan dengan lebih jelas dan diplomasi bagi mencari jalan penyelesaian supaya ia tidak berulang," katanya.