Syahmi tekad rebut posisi bek kanan

Syahmi
Syahmi
A
A
A

TONGGAK Selangor FC, Syahmi Safari sedia bersaing dengan bek Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies dan pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rizal Ghazali bagi merebut posisi pertahanan kanan skuad Harimau Malaya.

Syahmi berkata, tugasnya ketika ini adalah memberikan komitmen penuh di tengah padang bagi menambat hati pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

“Bagi saya lebih ramai pemain akan mewujudkan persaingan yang sihat. Apabila semua pemain dapat memberikan aksi yang terbaik, pasukan negara juga akan menjadi lebih baik.

“Sebenarnya saya tak kisah diletakkan pada mana-mana posisi, terpulang kepada percaturan taktikal coach. Sebelum ini, saya juga pernah diarahkan untuk beraksi pada posisi pertahanan kiri.

“Apa yang penting, pemain dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan coach. Sebagai pemain, saya hanya perlu mempersiapkan diri sendiri untuk berada dalam skuad kebangsaan,” katanya dalam satu sidang media secara maya pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Syahmi berkata, semua pemain Harimau Malaya semakin menampakkan perkembangan positif sejak menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru pada Isnin lalu.

“Masuk hari kelima sesi latihan (semalam), rasaya dah nampak progress yang baik. Tempoh masa kem latihan ini juga tidak lama, jadi kami harus menggunakan peluang ini untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Sejak hari pertama latihan lagi, tumpuan diberikan untuk kami mendapatkan semula keserasian. Tetapi mulai semalam (kelmarin), coach sudah mula menggandakan intensiti latihan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: