X

Kindly register in order to view this article
!

Sesi sekolah menengah mulai 4 dan 5 April ini diteruskan

Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Bernama
A
A

BATU PAHAT - Sesi persekolahan secara bersemuka bagi peringkat menengah yang dijadualkan bermula pada 4 dan 5 April ini akan diteruskan walaupun terdapat 41 kluster Covid-19 di semua peringkat institusi pendidikan dilaporkan sejak 1 Januari lalu sehingga Khamis.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, persekolahan akan diteruskan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, kementerian juga akan meneruskan pemantauan dari masa ke masa supaya pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selamat.

"Kalau kita teliti data yang diberikan itu, jumlah keseluruhan berlaku di pelbagai institusi pendidikan dan kita telah ikut seperti mana SOP yang telah ditetapkan.

"Secara keseluruhan lebih lima juta murid di seluruh negara termasuk pelajar sekolah menengah akan kembali ke sekolah pada 4 dan 5 April ini.

"Kita sudah sediakan SOP terbaik, jadi, kita harap semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah dan semua pihak bagi sokongan, patuhi semua supaya sesi sekolah dapat diteruskan dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dan penyerahan peruntukan penyelenggaraan untuk sekolah-sekolah di Parlimen Batu Pahat, di sini pada Jumaat.

Sesi persekolahan secara bersemuka dilakukan secara berperingkat dengan murid sekolah rendah Tahun Tiga hingga Enam telah hadir ke sekolah pada 8 Mac lalu manakala murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua pula bermula, pada 1 Mac.

Bagi murid sekolah menengah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April manakala sekolah di negeri-negeri lain akan bermula pada 5 April ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 41 kluster Covid-19 di semua peringkat institusi pendidikan dilaporkan sejak 1 Jan lepas hingga Khamis.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster prasekolah dan sekolah rendah serta lima kluster pusat tahfiz dan madrasah yang telah dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan itu.

Ia termasuk tiga kluster baharu yang diumumkan pada Khamis iaitu Kluster Paloh Rambai, Kluster Merinding, dan Kluster Persiaran Maktab. - Bernama

TAG:


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!