Pas sasar pertandingan dua penjuru pada PRU15

 Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Pas menyasarkan pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu melibatkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak akan berganjak dengan pendirian untuk terus memperkukuhkan gagasan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

"Terserah kepada UMNO sama ada mahu bergerak secara 'solo' atau sebaliknya, namun, pendirian Pas sehingga kini masih sama iaitu kita mahu bersama PN dan MN.

“Kita menuju ke arah pertandingan dua penjuru dalam PRU15 dan tidak mahu rakyat berpecah banyak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini, pada Jumaat.

Abdul Hadi turut menegaskan, Pas berhasrat mewujudkan sebuah kerajaan stabil dan pada masa sama bersikap adil kepada rakyat, bukan semata-mata hanya menang dengan majoriti besar dalam PRU15.

"Tiada makna sekiranya menang dapat raih majoriti besar tetapi tidak adil dan hanya mahu mengekalkan kuasa.

"Apa yang penting ialah rakyat memberi sokongan kepada kita. Kekuatan kita bergantung kepada keadilan terhadap rakyat bukan kerana dapat kuasa sampai bila-bila,” katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan UMNO Kelantan mahu Pas membuat keputusan dengan jelas dan segera sama ada mahu bersama parti itu ataupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU15 nanti.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha UMNO Kelantan, Akbar Salim berkata, perkara itu diputuskan 12 UMNO bahagian di negeri ini selepas mengadakan mesyuarat pada Selasa.