Ahli Parlimen Slovenia letak jawatan selepas curi sandwic

Darij Krajcic meletak jawatan setelah mencuri sandwich dari sebuah kedai.
Darij Krajcic meletak jawatan setelah mencuri sandwich dari sebuah kedai.
A
A
A

LJUBLJANA - SLOVENIA. Seorang ahli Parlimen Slovenia meletak jawatan setelah mencuri sandwich dari sebuah kedai akibat tidak diberikan layanan oleh pekerjanya.

Darij Krajcic berkata, kehadirannya tidak dipedulikan tiga orang pekerja di sebuah kedai di Ljubljana yang asyik bersembang.

"Saya berdiri hampir tiga minit di kaunter, namun tidak diberikan layanan," kata bekas profesor berusia 54 tahun itu yang kemudian mengambil keputusan menguji 'tahap pemerhatian' pekerja terbabit.

Menurut Krajcic, tiada sesiapa menahannya ketika dia berlalu keluar dari kedai tersebut dengan sandwich yang belum dibayar.

Ahli parti Marjan Sarec List (LMS) itu bagaimanapun mendakwa, dia kembali semula ke kedai untuk membayar harga sandwich berkenaan.

Ketika menceritakan hal itu kepada ahli parti LMS yang lain, ia sekadar dianggap cerita lucu, namun Ketua LMS di Parlimen Brane Golubovic menganggap tindakan Krajcic itu tidak boleh diterima.

Krajcic yang meletak jawatan secara sukarela turut memohon maaf dan berasa menyesal kerana melakukan 'eksperimen sosial' seumpama itu. - BBC

Artikel Berkaitan: