Pohon tekoma hiasi pemandangan Seberang Perai

Pokok tekoma atau sakura Malaysia mula mekar di kawasan Seberang Perai.
Pokok tekoma atau sakura Malaysia mula mekar di kawasan Seberang Perai.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Menelusuri beberapa laluan di sekitar Seberang Perai pasti membuatkan ramai terpesona dengan keindahan bunga tekoma yang mula mekar ketika ini.

Manakan tidak, fenomena yang hanya berlaku pada musim tertentu terutamanya berbunga pada musim kering dan kemarau menjadikan kawasan di sini tidak ubah seperti suasana musim bunga sakura di Jepun.

Keadaan ini menarik perhatian ramai terutamanya peminat fotografi untuk merakamkan gambar kenangan ala-ala percutian di negara matahari terbit sedangkan panorana mempesonakan ini hanya di tanah air sendiri.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, sebanyak 3,002 batang batang pokok tekoma atau nama saintifiknya tabebuia rosea mula ditanam sejak 27 Ogos 2017 di 13 kawasan di Seberang Perai.

Menurutnya, kesemua pokok yang ditanam secara serentak empat tahun lalu mendapat pengiktirafan Malaysian Books Of Records (MBR).

"Memetik portal rasmi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), spesies tabebuia berasal dari Amerika Tengah dan benua Amerika Selatan.

"Di sini pokok tersebut juga dikenali sebagai pokok cherry blossom Pulau Pinang kerana bunganya yang sangat lebat seolah-olah bunga sakura Jepun yang mekar pada musim bunga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pokok tekoma atau sakura Malaysia mula mekar di kawasan Seberang Perai.
Pokok tekoma atau sakura Malaysia mula mekar di kawasan Seberang Perai.

Rozali berkata, terdapat kira-kira 257 spesies bagi genus tabebuia di seluruh dunia dan hanya 73 nama spesies yang didaftarkan dan dibezakan melalui warna dan bentuk bunganya.

Menceritakan mengenai kebaikan dan kelebihan pokok tekoma Rozali berkata, ia sesuai dijadikan sebagai tanaman pinggiran jalan dan pokok hiasan taman.

Jelasnya, pohon hiasan itu ditanam di kebanyakan negara tropika sebagai pokok hiasan dan balak.

"Antara keistimewaan pokok ini ialah ia mempunyai aktiviti seperti antibakteria dan antimalaria, selain sesuai dijadikan halangan angin, pokok hiasan di jalan raya dan perumahan.

"Pastinya selepas beberapa tahun ditanam ia menyajikan pemandangan yang indah dan mempesonakan seperti berada di Jepun dan Korea," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bentuk kanopinya yang rendang dan merimbun sesuai dijadikan sebagai pokok teduhan.

Panorama mempesonakan di sekitar Bandar Perda selepas bunga tekoma mula mekar.
Panorama mempesonakan di sekitar Bandar Perda selepas bunga tekoma mula mekar.

Selain itu, warna bunganya yang menarik juga menjadikan tanaman ini sering ditanam sebagai tanaman hiasan baik di tepi jalan mahupun di dalam kawasan bandar.

Lokasi penanaman:

Daerah Seberang Perai Utara

1. Taman Bagan (Jalan Bagan 45)

2.Taman Riang

3.Taman Perda lndah

4.Jalan Sungai Lokan

Daerah Seberang Perai Tengah

5. Kolam tadahan (wet pond) bersebelahan lbu Pejabat MPSP,Bandar Perda

6. Rezab Jalan Bulatan Bukit Tengah

7. Rezab Parit Monsun (Sebelah Masjid), Bandar Perda

8. Taman Tunku (Belakang Kompleks Sony)

9. Autocity

Daerah Seberang Perai Selatan

10.Taman Rekreasi Valdor

11. Taman Belatuk I Taman Bersatu

12. Taman Seri Bayu

13. Bandar Tasek Mutiara (Lorong 12 SS/2 dan Lorong 3 SS/3)

Lokasi lain:

14. Bertam

15. Paya Keladi

16. Sungai Acheh