Hilang lima hari, Che Som ditemui lemah dalam hutan

Lokasi Che Som ditemui oleh kontraktor ketika menebas. Gambar kecil: Che Som Ibrahim
Lokasi Che Som ditemui oleh kontraktor ketika menebas. Gambar kecil: Che Som Ibrahim
A
A
A

TAMPIN - [DIKEMASKINI] Seorang warga emas yang hilang sejak 20 Mac lalu ditemui selamat di kawasan hutan berhampiran Pencawang Masuk Utama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Repah di sini pada Khamis.

Che Som Ibrahim, 69, ditemui dalam keadaan letih, kesejukan dan dehidrasi oleh seorang kontraktor ketika menebas di kawasan itu kira-kira jam 2.40 petang.

Menurut anaknya, Masturah Abdullah, 30, suaminya dihubungi polis dan minta segera datang ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah di Taman Desa Permai Repah.

"Kebetulan suami mahu keluar nak cari mak masa polis telefon. Jadi, dia dan abang-abang terus ke lokasi tapi mak tak ada, dah dibawa ke hospital dengan ambulans.

"Sempat mereka jumpa kontraktor terbabit dan beritahu mak dalam keadaan letih, kesejukan dan sudah diberi minum air mineral sementara ambulans sampai," katanya ketika dihubungi.

Masturah berkata, doktor memberitahu emaknya dehidrasi dan perlu dimasukkan ke wad Hospital Tampin untuk lebih pemantauan dan rawatan lanjut membabitkan kesihatan mental dihidapi.

Che Som dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans sejurus ditemui dalam keadaan letih, kesejukan dan dehidrasi.
Che Som dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans sejurus ditemui dalam keadaan letih, kesejukan dan dehidrasi.

Artikel Berkaitan:

"Mak tak cedera cuma luka dan calar pada badan saja. Tak tahulah macam mana mak boleh 'survive' dalam hutan tu tapi apapun saya syukur sebab mak selamat.

"Sekarang kami tak pasti mak ke mana, cuma masa doktor tanya kenapa mak pergi sana, dia kata sebab ada orang panggil," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, seorang kontraktor menghubungi polis memaklumkan menemui mangsa kira-kira 10 meter dari jalan utama.

"Kontraktor berusia lingkungan 40 tahun itu menjumpai wanita itu ketika dia sedang melakukan kerja-kerja menebas semak samun di situ.

"Ketika ditemui wanita itu lengkap berpakaian tetapi dalam keadaan lemah kerana sudah lima hari hilang dengan keadaan badan dan kakinya terdapat luka kecil dan calar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, tidak dapat dipastikan lagi ke mana warga emas itu pergi dalam tempoh dia hilang, namun polis percaya kehilangannya sebelum ini tidak melibatkan unsur jenayah.

Isnin lalu Sinar Harian melaporkan kehilangan warga emas, Che Som Ibrahim, 69, selepas keluar dari rumahnya kira-kira jam 8.30 pagi tanpa disedari ahli keluarga.

Anaknya, Zatul Iffah Abdullah, 38, berkata, sebelum ini ibunya pernah keluar sendirian tetapi akan pulang selepas beberapa jam kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN:Mak ada sebut nak jumpa 'pak cik'