Kesenian harus dikawal dengan nilai moral: Mufti

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Islam tidak melarang umatnya untuk menceburi bidang kesenian dan hiburan namun perlu ada batasan dan dikawal dengan nilai moral serta agama.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga tidak menolak pentingnya nilai kebebasan, keterbukaan dan penyuburan sikap inklusif yang diyakini mampu memacu negara ke arah kemajuan.

Di samping kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, kita juga perlu memperkembangkan bidang kesenian dan hiburan supaya kemajuan yang ingin dicapai tidak membosankan.

Namun semua itu katanya, perlu ada batasan dan dikawal dengan nilai moral serta agama agar manusia tidak terjerumus ke arah kehancuran.

"Ini penting untuk difikir dan diusahakan sebab manusia bukan robot tetapi ada emosi yang perlu dilayani dan disuburkan dengan perkara-perkara yang menyenangkan. Bagaimanapun, kesenian dan hiburan hendaklah dikawal dengan nilai-nilai moral dan agama.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis nasihat persembahan teater dihentikan

"Ia berikutan, kegiatan seni dan hiburan yang terlepas daripada kawalan akan menjerumuskan manusia ke jurang kemusnahan. Hal ini terbukti daripada sejarah pelbagai tamadun yang pernah lahir sepanjang zaman. Apa yang saya maksudkan adalah meliputi semua bidang kesenian dan hiburan termasuk teater," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, sesuatu kesenian itu tidak perlu ditonjolkan tentang perhubungan cinta yang menjurus kepada kebebasan yang melulu.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak suka konsep seni untuk seni, apa yang kita inginkan adalah kesenian yang diarahkan kepada pembangunan masyarakat yang berakhlak dan berhemah tinggi. Tak payahlah ditonjolkan cinta yang menjurus kepada kebebasan yang melulu, sebaliknya perlu ditampilkan cinta dalam pengertian yang luas.

"Termasuk cinta Ilahi, alam sekeliling, ibu bapa, negara dan sesama manusia seluruhnya. Sesungguhnya dunia seni amat luas dan indah. Kenapa harus disempitkan dalam batas seksual sahaja? Aktiviti seni mampu mendorong ke arah ketinggian sebagaimana ia juga mampu mengheret ke jurang kehancuran," katanya.

Sebelum ini, pengarah dan penulis Big Nose Production, Fa Abdul memohon maaf kepada semua pihak selepas menyedari berlaku salah faham berhubung tajuk teater arahannya, 'Sex In Georgetown City'.

Tajuk teater itu bagaimanapun telah diubah kepada 'Love In Georgetown City' setelah menyedari berlaku kekeliruan dalam kalangan banyak pihak.

Menurutnya, dia tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti agama dan budaya namun menegaskan, dalam industri kreatif, insiden seperti memilih tajuk berkenaan tidak dapat dielakkan.

Tambahnya, persembahan teater tersebut membahaskan isu-isu sosial yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara termasuk hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia, kahwin bawah umur dan kecurangan.