X

Kindly register in order to view this article
!

Korea Utara lancar dua peluru berpandu balistik

Gambar fail menunjukkan sebuah peluru berpandu balistik jarak jauh dilancarkan di sebuah lokasi di Korea Utara. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Korea Utara pada Khamis melancarkan dua buah peluru berpandu balistik, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) kepada stesen penyiaran berita CNN.

Setakat ini masih tidak diketahui sama ada ia sama seperti peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) atau bersaiz pendek, medium atau panjang.

Pihak tentera dan perisikan AS masih menganalisis data dari pusat pelancaran negara itu bagi menentukan jenis peluru berpandu itu dan sejauh mana ia boleh menemui sasaran.

AS sebelum ini mengesan semua ujian senjata Korea Utara menerusi radar dan satelit.

Ia sekali gus mampu untuk mengesan haba akibat pelancaran sesebuah peluru berpandu di negara berkenaan.

Sebelum pelancaran itu dibuat, Korea Utara dilaporkan melancarkan objek seperti roket ke arah laut antara Semenanjung Korea dengan Jepun pada awal Khamis.

Menurut Kementerian Pertahanan Jepun, objek tersebut dipercayai jatuh di luar wilayah perairan Jepun dan Zon Ekonomi Eksklusif milik negara matahari terbit itu.

Pasukan pengawal Jepun kemudian memberi amaran kepada kapal-kapal untuk berhati-hati dengan serpihan objek tersebut.

Pada minggu lalu, Korea Utara melakukan ujian pertama senjata sejak Presiden AS, Joe Biden mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden pada 20 Januari lepas, menurut beberapa pegawai.

Beberapa pegawai dan pakar-pakar berkata, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un cuba menghantar mesej kepada pentadbiran Biden tentang pentingnya peranan negara itu di rantau Semenanjung Korea. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!