300 bekas ahli PKR sertai Gerakan

Alfaizal (dua dari kiri) menyerahkan borang keahlian Gerakan kepada Tean Seng ketika sidang akhbar di Pejabat Gerakan Perak pada Rabu.
Alfaizal (dua dari kiri) menyerahkan borang keahlian Gerakan kepada Tean Seng ketika sidang akhbar di Pejabat Gerakan Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Seramai 300 individu mendakwa bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Rabu.

Seorang bekas ahli PKR Cabang Ipoh Barat, Alfaizal Shahul Hamid, 44, yang mewakili kumpulan itu berkata, keputusan yang dibuat bersama rakan-rakan lain menyertai Gerakan itu disebabkan mereka hilang kepercayaan kepada PKR.

Menurutnya, selepas empat tahun sebagai ahli PKR, dia memilih untuk keluar parti sejak setahun yang lalu kerana parti itu dilihat hanya memperjuangkan kepentingan diri sendiri berbanding rakyat.

"Pada pandangan saya, Gerakan lebih menumpukan usaha terhadap ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

"Disebabkan itu saya bersama bekas ahli-ahli PKR yang lain mengambil keputusan menyertai Gerakan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat Gerakan Perak pada Rabu.

Menurutnya, penyertaan mereka ke dalam Gerakan tidak ada sebarang paksaan tetapi keputusan itu dibuat secara sukarela.

Alfaizal berkata, penyerahan kesemua borang keahlian akan dibuat secara berperingkat kepada Gerakan Bahagian Ipoh Barat.

Pada sidang akhbar itu, sebanyak 50 borang keahlian Gerakan diserahkan kepada Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng oleh Alfaizal yang turut mewakili individu lain.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tean Seng berkata, kemasukan keahlian baharu itu sangat dialu-alukan bukan sahaja bekas ahli parti politik tetapi semua individu yang mahu berjuang bersama parti itu.

Menurutnya, Gerakan merupakan parti yang berjuang untuk rakyat, negeri dan negara demi kebaikan semua.

"Kita alu-alukan bukan sahaja yang pernah sertai parti politik lain tetapi orang muda yang tak pernah jadi ahli mana-mana parti politik.

"Sesiapa yang percaya perjuangan kami, kita terima penyertaan mereka. Ahli-ahli baharu ini akan didedahkan mengenai perjuangan parti," katanya.

Dalam pada itu, Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Datuk MA Tinagaran yang dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya meminta 300 individu yang mendakwa bekas ahli PKR itu mengemukakan bukti keahlian mereka.

Menurutnya, semua pihak boleh mendakwa bekas ahli parti sedangkan mereka tidak mendedahkan sebarang bukti.