Dituduh berunding dengan Anwar, Zahid perlu perjelas kepada MKT

Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi
Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan pemimpin DAP bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah antara individu terlibat berunding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipandang serius barisan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin menggesa MKT UMNO untuk menuntut penjelasan daripada Ahmad Zahid bagi meredakan keresahan lebih tiga juta ahli UMNO.

Menurut beliau, dakwaan DAP itu boleh menjejaskan keyakinan akar umbi, sekali gus boleh mengakibatkan UMNO tersungkur sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"MKT UMNO kena minta Ahmad Zahid membuat penjelasan itu sebelum atau semasa Perhimpunan Agung UMNO pada hujung bulan ini demi kelangsungan parti.

"Kita tidak mahu UMNO kalah sekali lagi dalam isu DAP dan Anwar ini. Apa guna kita berpolitik kalau parti yang kita bawa bertanding kalah Pilihan Raya Umum (PRU) nanti. Isu macam ini yang akan menjatuhkan UMNO sekali lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong menerusi blognya mendakwa Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berunding dengan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membentuk kerajaan baharu.

Dakwaan itu dikemukakan Chin Tong selepas beliau menempelak Anwar dan PKR yang dianggap cuba mengubah fakta sejarah Langkah Sheraton semata-mata bagi menjustifikasikan langkah bekerjasama dengan UMNO.

Sebelum itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan UMNO boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpinnya yang bekerjasama dengan PKR atau DAP.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, Anwar mengesahkan sedang mengadakan rundingan dengan pemimpin UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik menjelang PRU15.