Susah jadi kawan baik!

No Image Caption
A
A
A

PENYATUAN UMNO-Pas-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) setahun lalu dilihat telah berjaya menyelesaikan krisis politik negara pada waktu itu.

Penyatuan tiga kuasa politik itu menjadi titik tolak ke arah kesatuan Melayu dan juga komitmen ke arah penyatuan ummah.

Bagaimanapun, situasi politik antara ketiga-tiga parti yang tiada dominannya itu nampaknya tidak berjalan lancar.

Ketika ini, mereka yang menyokong penyatuan dan perpaduan ummah pula hanya mampu memandangnya dari jauh kerana ternyata ia bukan perkara mudah sebagaimana dilaungkan.

Ditambah pula hubungan ‘teman tapi tidak mesra’ UMNO dan Bersatu ketika ini seolah-olah sukar dipertahankan.

Pas pula dilihat sebagai watak ‘kawan baik’ yang setia di samping UMNO dan Bersatu, walaupun ada yang melihat parti itu ‘lebih sedikit’ kepada Bersatu.

Dari sudut penyatuan, hanya Pas yang juga pendamai antara kedua-duanya, seringkali menyuarakan komitmen ke arah penyatuan ummah.

Persoalannya, cukupkah untuk merealisasikan penyatuan ummah hanya sekadar menjadi ‘kawan baik’? Dalam keadaan kawan di kiri dan kanan kian bergolak.

Artikel Berkaitan:

Sejauh mana pula usaha Pas menyatukan kedua-duanya pula belum lagi menampakkan hasil ketika ini.

Namun, sebelum lebih banyak lagi drama muncul, Pas sebagai penghubung wajar memainkan peranan secara proaktif dan efektif jika mahu kukuhkan hubungan sedia ada.

Jika tidak, ia hanya menjadi penyatuan Pas-UMNO dan Pas-Bersatu. Tidak lebih dilihat sekadar demi kelangsungan politik bagi menghadapi PRU15.

Cabaran besar perlu dipikul Pas. Parti lawan pula sedang mengintai peluang.
 Sebagaimana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberitahu tidak menolak kemungkinan PKR menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

Jika usaha Pas gagal dalam penyatuan ini, maka tidak mustahil hubungan sedia ada akan berakhir. Paling awal mungkin sebelum pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, di pihak Pas, pemimpin parti itu yakin masih ada jalan untuk selesaikan kemelut melanda UMNO-Bersatu sebagaimana kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan masih ada ‘cahaya di hujung terowong’.

Walaupun tersepit melayan karenah UMNO dan Bersatu, ditambah politik makin celaru, usaha Pas menyatukan kedua-duanya tetap akan dinilai.

Yang pasti, tiada yang mahu ambil tahu penat lelah Pas dalam membuat rundingan, usaha dan pengorbanan ke arah penyatuan itu. Yang orang mahu tahu adalah hasilnya.

Ini termasuklah soal pembahagian kerusi yang belum selesai. Apatah lagi dalam keadaan pemimpin parti itu perlu berdepan dengan isu Pas-UMNO di negeri pantai timur.

Peranan Pas dilihat lebih berjaya jika mampu memastikan ketiga-tiga parti itu bersatu sebagai satu gabungan untuk berdepan Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang.



Penyatuan


Tiga kuasa politik yang sedang menerajui kerajaan ketika ini, jika benar-benar berpadu dan kukuh, ia bukan hanya menyatukan Melayu dan Islam malah memberi kesan besar terhadap kesejahteraan rakyat di negara ini.

Kata Penyandang Kursi, Institusi Raja-raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Shamrahayu A Aziz dalam tulisannya di sebuah akhbar tempatan, penyatuan bangsa dalam kalangan orang Melayu amat penting kerana membentuk kumpulan masyarakat paling besar bilangannya.

Katanya, sebagai kelompok terbesar, berpisah atau bermusuh orang Melayu pastinya mendatangkan impak buruk kepada negara.


Justeru, amatlah rugi jika tiga serangkai parti Melayu dan pribumi yang berkuasa gagal bersatu.

Bagaimanapun, komitmen bukan 100 peratus di bahu Pas. UMNO dan Bersatu juga perlu bergerak selari ke arah penyatuan itu. 

Lebih-lebih lagi Bersatu sebagai parti yang mengetuai kerajaan dan UMNO pula dengan pengikut yang ramai.

Janganlah usaha penyatuan ini sampai membuatkan ‘kawan baik’ pula merajuk.

Istiqamahnya Pas ketika ini sebagaimana disebut demi penyatuan tetapi sejarah memperlihatkan parti itu juga bukanlah setia sepanjang masa apabila pernah meninggalkan rakan politiknya sebelum ini.

Kesudahannya penyatuan diimpikan tidak ke mana. Jangan pula agenda besar itu akhirnya dilihat tidak lain hanyalah mainan di bibir pemimpin politik demi mendapat atau mempertahankan kuasa.

* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Web Editor Sinar Harian