Sabah punya potensi besar tarik pelaburan: Muhyiddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Sesi Balai Rakyat 'Makmur Bersama Sabah 2030' di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Sesi Balai Rakyat 'Makmur Bersama Sabah 2030' di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah mempunyai potensi yang amat besar untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara berikutan kedudukannya yang strategik di rantau ini, selain mempunyai kekayaan sumber asli, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ini dapat dibuktikan antara lain dengan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) yang berpotensi menarik pelaburan asing bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf sosioekonomi rakyat di Sabah.

“Saya difahamkan jumlah perdagangan di Sabah pada tahun 2020 mencecah sebanyak RM79.5 bilion iaitu nilai eksport sebanyak RM41.4 bilion dan import sebanyak RM38.1 bilion.

“Kelulusan pelaburan dalam sektor pengilangan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk Sabah pada 2020 ialah sebanyak RM11.95 bilion bagi melaksanakan 15 projek," katanya ketika merasmikan Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus bekerjasama erat dengan kerajaan Sabah demi memastikan ekosistem yang lengkap untuk menyokong pembangunan industri seperti perkilangan dan pembuatan.

Pada masa sama, katanya, Sabah turut berpotensi dalam pembangunan industri aeroangkasa selari dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

“Sebagai contoh, Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) telah mencadangkan Kota Kinabalu sebagai kluster aeroangkasa dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pelaburan ini mampu mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah selain memberi impak positif kepada sektor lain di Sabah susulan peningkatan rantaian pelaburan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: