X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Kekalkan dasar ‘No Anwar, No DAP’

Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Mac ini perlu menjadi medan kepada kepimpinan parti menjelaskan hala tuju UMNO bagi menghadapi PRU15.
A
A

SHAH ALAM - Kepimpinan UMNO perlu mengekalkan dasar ‘No Anwar, No DAP’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 sekiranya parti itu bertekad mahu memuktamadkan pendirian menolak kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, akar umbi dan ahli-ahli UMNO tidak bermasalah untuk mematuhi pendirian parti menolak kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sekiranya ketetapan itu diluluskan dalam PAU yang berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini.

Bagaimanapun, beliau menggesa kepimpinan UMNO terutama Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menerangkan hala tuju sebenar parti dengan lebih jelas bagi menghadapi PRU15 sama ada mahu bersendirian atau membentuk kerjasama politik baharu.

“Pada PAU akan datang, kita harapkan kepimpinan UMNO menerangkan hala tuju parti yang lebih jelas bagi menghadapi PRU15, bagaimana strategi politik yang akan diguna pakai kerana kita tidak mahu perkara itu terus samar.

“Satu pendirian jelas perlu diputuskan dalam PAU. Jika usul menamatkan kerjasama dengan Bersatu mahu dimuktamadkan, parti kena menekankan sekali pengekalan dasar ‘No Anwar, No DAP’,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa telah mengadakan perbincangan awal dengan wakil pemimpin UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik dalam satu sidang media minggu lalu.

Pendedahan itu pastinya mengejutkan semua pihak terutama ahli-ahli akar umbi UMNO memandangkan parti itu lantang mempertahankan dasar ‘No Anwar, No DAP’ selama ini.

Pada 4 Mac lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan sepucuk surat diutus kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan sebulat suara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Bagaimanapun, Ahmad menjelaskan MKT UMNO turut berpendapat kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Pada 27 dan 28 Mac ini, UMNO mengumumkan akan mengadakan PAU 2020 secara bersemuka dan siaran maya setelah ia ditangguhkan daripada jadual asal akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di sebalik desakan dasar ‘No Anwar, No DAP’ terus dikekalkan, Mohamad Fazli tidak menolak kemungkinan berlakunya kerjasama politik tidak rasmi antara UMNO dengan Bersatu mahu pun blok pembangkang di beberapa kawasan tertentu pada PRU15.

Jelas beliau, bentuk kerjasama politik itu lebih ke arah perbincangan persendirian antara calon-calon parti bertanding dan tidak mewakili pendirian UMNO terhadap kedua-dua pihak berkenaan.

“Cuma saya harapkan kepada 13 jurucakap perbahasan PAU dilantik supaya boleh membangkitkan isu penjenamaan semula UMNO dengan mana-mana pemimpin parti yang berhadapan tuduhan politik dan menjadi persepsi rakyat diketepikan.

“Lebih baik UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuat tawaran politik baharu dengan menampilkan barisan kepimpinan lebih bersih dan berintegriti bagi menghadapi PRU15 kerana inisiatif itu akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti,” katanya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid yang menegaskan Ahmad Zahid perlu menjelaskan teka-teki kerjasama UMNO dengan mana-mana parti termasuk spekulasi UMNO-Pakatan Harapan (PH) semasa ucapan dasar Presiden parti kelak.

Jelas beliau, ia sekali gus akan merungkai pelbagai spekulasi yang tersebar di media sosial mengenai isu berkenaan.

“Jadi kita hendak minta presiden (Ahmad Zahid) berterus terang dan memberikan gambaran sejelas-jelasnya tentang keadaan yang berlaku ini.

“Penjelasan itu akan menepis segala dakwaan tidak benar bahawa wujudnya hubungan yang melanggari dasar parti, ‘No DAP, No Anwar’,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!