Undi 18: SPR digesa beri keputusan terkini

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memberikan keputusan terkini pelaksanaan undi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, adakah benar perkara berkenaan tidak akan dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang kerana rakyat memerlukan jawapan mengenai perkara tersebut.

“SPR juga perlu memberikan makluman perkembangan terkini berkenaan perkara ini bagi memastikan semua pihak atau parti yang terlibat melakukan persediaan yang sepatutnya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Para 16 Julai 2019, Dewan Rakyat yang ketika itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Pengundi 18 tahun merupakan cetusan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertujuan meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan anak muda sekali gus menyaksikan landskap politik negara ke arah pro anak muda.

Jalaluddin yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, beliau pelik bagaimana Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim baru-baru ini berkata kelayakan mengundi pada pilihan raya umum di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU berkenaan.

“Saya agak pelik bagaimana perkara ini boleh disebut oleh Yang Dipertua Dewan Negara, bahkan sehingga ke hari ini, tidak ada satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan SPR ataupun daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang). Adakah Yang Dipertua Dewan Negara mendahului pihak SPR?” katanya.

Beliau berkata, walaupun berlaku pertukaran kerajaan pada Mac tahun lalu, sepatutnya perkara berkenaan tidak mengganggu urusan SPR dan ia tidak merubah sebarang keputusan kerana pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu telah diluluskan dan ianya wajib dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Tempoh hampir dua tahun yang diperuntukkan kepada pihak SPR selepas RUU tersebut diluluskan sepatutnya sudah mencukupi bagi melakukan persiapan yang sepatutnya.

“Tidak kiralah parti mana yang akan disokong oleh anak muda kelak, tapi hak mereka kita telah persetujui. Kita telah berikan dan kita harus hormati hak mereka.

“Sekali lagi saya tegaskan, hormati Perlembagaan Persekutuan, hormati hak anak muda,” katanya.