Saya mohon maaf: MB Johor

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mengesahkan pernah mengikuti pengajian di Kolej Pertanian Malaya yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM), sebelum ini.

Menurutnya, bagaimanapun beliau tidak menamatkan pengajian di universiti tersebut.

“Berkaitan isu akademik saya yang dikatakan mendapat Ijazah Perakaunan dari UPM, untuk makluman saya pernah mengikuti pengajian di Kolej Pertanian Malaya sebelum dinaiktaraf kepada Universiti Pertanian Malaysia, namun tidak menamatkan pengajian.

“Adalah di luar pengetahuan saya apabila muncul di beberapa laman sesawang yang menyatakan saya berkelulusan Diploma dan Ijazah Perakaunan dari UPM,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini hari ini.

Osman berkata, atas rasa tanggungjawab, beliau telah mengarahkan agar segala maklumat berkaitan perkara itu diturunkan serta merta daripada mana-mana laman web rasmi.

“Oleh itu, saya dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap kekeliruan dan salah faham berhubung kelayakan akademik saya,” katanya.

Selain itu, beliau turut menzahirkan harapan agar perkara tersebut tidak perbesarkan lagi oleh mana-mana pihak.

Sebelum ini, Osman ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu di Kulai, memilih untuk tidak menjawab soalan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malah dalam satu majlis di Segamat baru-baru ini, beliau kemudiannya memberitahu pemberita akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu