Bangkai ayam dalam kedai runcit

Mohd Wazir menunjukkan bangkai ayam yang ditemui dalam reban bersama beberapa ekor ayam yang masih hidup dalam sebuah kedai runcit di Taman Perwira, Permatang Tinggi, Bukit Mertajam pada Khamis.
Mohd Wazir menunjukkan bangkai ayam yang ditemui dalam reban bersama beberapa ekor ayam yang masih hidup dalam sebuah kedai runcit di Taman Perwira, Permatang Tinggi, Bukit Mertajam pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pemeriksaan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang membongkar keadaan beberapa buah kedai yang dikendalikan warga asing berada dalam keadaan menjijikkan di Taman Perwira, Permatang Tinggi di sini pada Khamis.

Melalui operasi Ops Caras dilakukan pihak terlibat, pengusaha bukan sahaja dikesan membela ayam dalam kedai runcit, malah ada yang menjadikan tandas sebagai stor menyimpan stok botol minuman.

Lebih meloyakan apabila pasukan serbuan menemui bangkai ayam di dalam reban bersama beberapa ekor lagi yang masih hidup di dalam kedai terbabit dipercayai untuk dijual kepada pelanggan terdiri daripada warga asing di kawasan perumahan berkenaan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM, Mohd Wazir Khalid berkata, dalam operasi yang dilakukan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memeriksa lima buah kedai runcit di kawasan perumahan yang menjadi tumpuan warga asing dengan memfokuskan isu kebersihan dan keselamatan produk.

"Kita dapati tahap kebersihan di beberapa kedai runcit yang diperiksa sangat mendukacitakan sehinggakan ada makanan yang dijual telah berkulat, tamat tarikh luput serta rosak.

"Mengikut peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT), ayam tidak boleh dibela di dalam kedai runcit tetapi apa yang kita jumpa hari ini terdapat kedai yang membuat tempat penyembelihan di dalam premis sehingga menyebabkan keadaan kotor dan menjijikkan," katanya ketika ditemui media di lokasi serbuan.

Mohd Wazir berkata, keadaan itu bukan sahaja boleh mengundang kencing tikus dan lipas di dalam kedai malah akan membawa masalah kepada pelanggan sekiranya membeli barangan yang tercemar.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati banyak produk import dijual tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh kerajaan seperti pelebelan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tiada alamat pengimport dan pengilang serta penggunaan bahasa yang tidak dibenarkan.

"Kesemua premis diperiksa dimiliki oleh peniaga tempatan namun kedai mereka dikelola oleh warga asing dan ini juga telah menjadi suatu kesalahan.

Artikel Berkaitan:


"Kita dapati terdapat premis kedai runcit yang menjual minuman keras namun tidak mengikut garis panduan termasuk tidak memasang papan tanda amaran dan larangan penjualan minuman keras kepada individu berusia 21 tahun ke bawah," katanya.

Atas kesalahan yang dikesan, Mohd Wazir berkata, pihaknya telah mengeluarkan lima notis kompaun manakala MBSP mengeluarkan tiga kompaun yang keseluruhan bernilai RM22,500.

Tambahnya, turut disita beberapa produk dan barangan jualan yang dianggarkan bernilai RM500.