Enam negeri kekal PKPB, tiga negeri bertukar ke PKPP

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Negeri Sembilan akan berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa 19 Mac hingga 31 Mac depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun berkata, terdapat kawasan dalam negeri tersebut yang masih kekal berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tiga negeri yang statusnya PKPB ditukar kepada PKPP iaitu Perak, dan Kedah, kecuali di Kuala Muda dan Kulim kekal PKPB kerana masih ada kluster yang aktif.

“Selain itu, Negeri Sembilan menunjukkan penurunan kes mendadak kecuali Seremban yang masih zon merah akan kekal PKPB,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini pada Selasa.

Beliau menambah, enam negeri dan wilayah akan kekal dengan status PKPB iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.

Tujuh lagi negeri dan wilayah dikekalkan status PKPP iaitu Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Labuan dan Sabah (kecuali Nabawan).

“Trend jangkitan terus menurun di Sabah kecuali di Nabawan. PKP di Nabawan disambung dua minggu lagi.

“Pertukaran serta pengekalan status bagi negeri-negeri ini akan berkuat kuasa bermula 19 Mac 2021 sehingga 31 Mac 2021 kecuali Sarawak berkuat kuasa 16 Mac hingga 29 Mac 2021,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanpun, beliau berkata, rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan daripada PKPP ke PKPP.

Kebenaran itu katanya, perlu melalui konsep green travel bubble menggunakan syarikat dan agen pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)

“Rentas daerah dibenarkan kecuali bagi negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.