TH laksana penjenamaan semula Kelab TaHa

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Tuan Mustakim Mohamad ketika merasmikan majlis pelancaran Kelab TaHa.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Tuan Mustakim Mohamad ketika merasmikan majlis pelancaran Kelab TaHa.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan penjenamaan semula Kelab TaHa yang merupakan singkatan TH bagi memastikan ia lebih terkini dan relevan dengan keperluan generasi muda khususnya yang beragama Islam.

Menurut Pengarah Eksekutif Operasi TH, Tuan Mustakim Mohamad, antara penjenamaan semula kelab tersebut termasuk mewujudkan logo baharu yang menampilkan reka bentuk lebih kreatif dengan hanya menggabungkan huruf jawi ‘Ta’ dan ‘Ha’.

“Gabungan kedua huruf jawi ini menghasilkan emoji senyum, melambangkan sikap dan persekitaran positif untuk mencapai kejayaan selain amalan baik mengikut perspektif agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, keahlian kelab itu kini tidak terhad kepada pendeposit sekolah rendah dan menengah sahaja, malah dibuka untuk pendeposit muda berusia seawal bayi baru lahir sehingga umur 17 tahun.

“Kelab TaHa telah wujud hampir 13 tahun dan tahun ini TH menawarkan pelbagai keistimewaan yang lebih menarik.

“Selain menampilkan logo baharu, ahli juga tidak perlu mendaftar dan ia percuma,” katanya.

Tambah beliau, TH giat melaksanakan Kempen Simpanan Daftar dan Menang, eksklusif untuk ahli Kelab TaHa.

Katanya, ibu bapa perlu menambah simpanan bersih sekurang-kurangnya RM1,300 ke dalam akaun anak-anak dan mendaftar untuk menunaikan haji.

Artikel Berkaitan:

“Ahli juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM100,000 sepanjang tahun,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kelab TaHa juga menawarkan kandungan e-pembelajaran dan bahan bacaan pada semua ahli menerusi sumbangan Rakan Kelab seperti MPH Bookstore dan Learninpal.

"Rakan Kelab lain seperti Menara Optometry, F&N, The Family Storybox, Yayasan Ihsan, Percetakan Nasional Malaysia Berhad serta Tabung Haji Travel dan Services turut memberi kelebihan menarik kepada ahli seperti diskaun eksklusif dan berpeluang memenangi pelbagai hadiah lain,” ujarnya.