Penagih khayal tolak kereta dalam lombong

Selaman dilakukan anggota PPDA Kuala Kangsar mengesahkan tiada mangsa yang terperangkap dalam kenderaan berkenaan.
Selaman dilakukan anggota PPDA Kuala Kangsar mengesahkan tiada mangsa yang terperangkap dalam kenderaan berkenaan.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah bertindak luar kawalan apabila menolak sendiri kereta miliknya ke dalam sebuah lombong berkedalaman 25 meter di Taman Lintang Makmur di sini pada Isnin.

Tindakan lelaki berusia 42 tahun itu disedari seorang pemancing yang kebetulan berada di kawasan berkenaan sekitar jam 6.30 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, laporan awal menyebut terdapat sebuah kereta jenis Proton Satria terbabas dan menjunam ke dalam lombong, namun pemeriksaan ke lokasi telah menemui pemilik kenderaan itu.

"Semasa temu bual kita dapati lelaki terbabit dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah.

"Dia memaklumkan kereta itu adalah miliknya dan mengaku sengaja menolak sendiri kenderaan berkenaan ke dalam lombong.

"Dia bagaimanapun memaklumkan bahawa tiada mangsa berada dalam kereta terbabit," katanya.

Beliau berkata, polis yang curiga dengan keadaan itu telah membawa lelaki terbabit ke balai polis dan ujian saringan air kencing menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu kemudiannya menemui dadah jenis syabu seberat 0.07 gram.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan kes kini dibuat ke atas lelaki berkenaan mengikut Seksyen Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Mohd Khaizam berkata, untuk mendapatkan pengesahan bahawa tiada mangsa terperangkap dalam kenderaan itu, polis telah menghubungi pasukan bomba untuk khidmat selaman.

"Sekitar jam 1.30 petang tadi (Isnin) bomba telah mengesahkan bahawa tiada mangsa lain berada dalam kereta terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd Azizi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.20 pagi.

Katanya, beberapa barang dipercayai milik pemilik kereta turut dijumpai di lokasi kejadian iaitu sepasang selipar dan dompet.

"Anggota dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuala Kangsar telah membuat selaman pada jarak 30 meter ke tengah lombong dengan kedalaman sehingga 25 meter.

"Hasil selaman yang dilakukan berjaya mengesan kereta berkenaan kira-kira jam 1.30 petang namun tiada mangsa lain yang dijumpai dalam kenderaan tersebut," katanya.