'Kami rela dituduh pelacur demi pertahankan perpaduan ummah’

Mohamed Sukri Omar
Mohamed Sukri Omar
A
A
A

SHAH ALAM - “Kami rela dituduh pelacur dan parti (politik yang) kecil demi mempertahankan perpaduan ummah,” kata Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.

Beliau berkata, pihaknya rela dituduh demikian daripada menjadi 'pelacur politik dan kuasa' kerana rakus menggadai maruah agama dan bangsa untuk kehendak peribadi.

Menurutnya, tuduhan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman itu adalah bibit permusuhan dan perpecahan yang dicipta sebelum Perhimpunan Agung UMNO.

Katanya, ia bertujuan supaya UMNO meninggalkan Pas dan kepimpinan parti terbesar orang Melayu itu terperangkap dengan persepsi negatif.

“Apalah sangat tuduhan ini nak dibandingkan dengan realiti yang mereka berdua (Tengku Razaleigh dan Tajuddin) lakukan dalam politik. Tuduhan boleh jadi benar atau tidak. Tetapi realiti pasti benar.

“Cacian memang pedih dan mengguris hati kami tetapi kesakitan ini kami tahan demi sebuah perpaduan yang lebih bermakna buat agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamed Sukri berkata, beliau yakin kepimpinan dan ahli-ahli UMNO lebih bijak dan matang daripada dua pemimpin tersebut.

Beliau berkata, pihaknya percaya kedua-dua mereka (Tengku Razaleigh dan Tajuddin) adalah liabliti bagi politik Melayu Islam.

Artikel Berkaitan:

“Sudah masanya mereka berdua bergerak aktif di masjid surau membuat kebajikan untuk menghadapi hari-hari akhir kehidupan, yang pastinya lebih bermanfaat daripada perkataan merapu dan nyanyuk mereka dalam politik.

“Kalau mereka berdua menyangka cacian itu akan melemahkan gagasan penyatuan ummah yang di bawa Pas, (ini) sama ada mereka sudah hilang ingatan atau kewarasan,” katanya.

Jelasnya, pelbagai serangan yang telah diterima Pas sejak 69 tahun dalam persada politik.

“Semakin kuat kami diserang, semakin kukuh saf perjuangan kami. Terima kasih membantu kami untuk terus merapatkan saf.

“Insya-ALLAH kami akan terus maju dengan gagasan ini walau dicaci agar kami tidak dicaci generasi mendatang kerana membiarkan agama, bangsa dan negara menjadi mangsa kerakusan dan kebodohan beberapa pemimpin,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan melabel Pas sebagai 'pelacur' dan menggesa UMNO untuk menewaskan parti itu pada PRU15 akan datang sementara Tajuddin pula melabel Pas sebagai parti kecil.