X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki nekad pandu 75 kilometer sebelum diberkas polis

Suspek yang mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan dadah berjaya diberkas selepas MPV dipandunya terbabas.
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki berusia 25 tahun yang positif dadah nekad memandu kereta sejauh 75 kilometer dari Kuantan hingga Maran, semata-mata untuk mengelak daripada ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, suspek berjaya diberkas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey dipandunya terbabas berhampiran Felda New Zealand di Maran, kira-kira 69 kilometer dari sini.

Beliau berkata, kejadian bermula sekitar 3.20 petang semalam (Khamis) apabila suspek dikatakan cuba melarikan diri selepas diarahkan berhenti oleh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Tanah Putih di sini.

"Anggota tersebut mendakwa melihat suspek menggunakan alat telekomunikasi semasa memandu selain nombor pendaftaran kenderaan tersebut kabur dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Bagaimanapun, suspek dikatakan terus memecut kenderaan ke arah Jalan Kuantan-Maran menyebabkan anggota terlibat meminta bantuan kereta peronda dan IPD Kuantan seterusnya menghubungi kami berdasarkan laluan suspek," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Norzamri berkata, pihaknya telah membuat halangan di persimpangan lampu isyarat masuk ke Tol Maran, menyebabkan suspek membuat pusingan U bagi meloloskan diri hingga polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar hadapan kenderaan itu.

Kenderaan suspek bagaimanapun dikatakan terbabas berhampiran ladang kepala sawit sebelum suspek yang mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan dadah itu dapat ditangkap.

"Pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan satu plastik dipercayai berisi syabu selain kenderaan itu didapati tidak berdaftar, menggunakan lesen kenderaan motor dan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Norzamri berkata, suspek kini direman hingga Isnin (15 Mac) bagi membantu siasatan antaranya memandu secara melulu, menghalang tugas penjawat awam, memiliki dadah dan menggunakan kenderaan tidak berdaftar. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!